Penyerangan Arsenal, Olivier Giroud menyifatkan penjaga gol mereka adalah kunci di sebalik kemenangan selesa 2 - 0 The Gunners ke atas Bayern Munich pada aksi Liga Juara-juara awal pagi tadi.

Dalam persaingan di Stadium Emirates itu, Arsenal membuka tirai jaringan melalui Giroud pada minit ke-77 sebelum Mesut Ozil menggandakan jaringan pada penghujung masa perlawanan.

‎Bagaimanapun bagi Giroud, kemenangan itu berpunca oleh tindakan penyelamat yang banyak dilakukan Cech.

Rekod perlawanan menunjukkan Cech melakukan lapan aksi menyelamat daripada serangan berbahaya lawan sepanjang perlawanan.

"Dia tampil dengan begitu hebat menyebabkan kami bermain dengan baik sehingga mencipta gol dan pada masa sama, bertahan sehingga perlawanan tamat," kata Giroud sejurus perlawanan berakhir.

Keseluruhan aksi memperlihatkan Bayern menguasai 68 peratus kawalan bola dan 67 serangan berbahaya berbanding The Gunners 32 peratus dengan 27 serangan.

Tetapi bagi Giroud, rahsia kejayaan Arsenal pagi tadi adalah keberkesanan jentera serangan.

"Mereka mendominasi permainan, tetapi kami mampu menyelesaikan serangan," katanya.

Kemenangan skuad bimbangan Arsene Wenger itu membuka peluang untuk mereka beraksi ke peringkat suku akhir.

Mereka kini menduduki tangga ketiga kumpulan F dengan kutipan tiga mata dari tiga perlawanan, manakala Bayern di tangga teratas dengan pungutan enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.