Brock Lesnar menamatkan spekulasi mengenai kepulangannya ke gelanggang Ultimate Fighting Championship (UFC) baru-baru ini.
Ramai peminat dan pemerhati gusti profesional memang tertanya-tanya status terbaru Lesnar yang kini belum ditawarkan kontrak lanjutan di WWE.
"Saya tidak akan pulang ke UFC dalam masa terdekat. Berita mengenai itu satu penipuan." katanya dalam rancangan podcast Steve Austin - atau lebih dikenali sebagai Stone Cold - baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai keputusannya memilih WWE sebagai medan 'perjuangannya', Lesnar berkata sehingga ke hari ini, beliau masih dapat menerima bagaimana cara dia meninggalkan UFC.
"Ia benar-benar tidak adil bagi saya.
"Sehingga kini, saya tidak tahu jika dapat menjadi ahli gusti profesional jika saya tidak mendapat penyakit divertikulitis," katanya.
Divertikulitis merupakan penyakit berkaitan masalah pencernaan yang lazimnya terjadi pada usus besar.
Ia terjadi apabila dinding usus terbagi pada saluran usus sehingga menyebabkan jangkitan atau penyakit.
Degil melawan penyakit
Punca sebenar jangkitan pada bahagian itu belum dapat dipastikan tetapi mungkin disebabkan oleh bakteria yang terperangkap padanya.
Disebabkan masalah itu Lesnar terlepas peluang untuk memenangi merebut gelaran juara heavyweight UFC yang menyaksikan dia mengalami penyusutan berat badan dan hampir meninggal dunia.
"Saya berasa seperti disabotaj divertikulitis," katanya.
Mengenang kejadian itu Lesnar berkata, semuanya berlangsung dalam keadaan baik sehinggalah dia hampir terjatuh dari atas pokok ketika memburu.
Apabila dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan barulah doktor mengesan masalah kesihatan dihadapinya.
Ketika itu, kata Lesnar, dia tahu penyakitnya serius.
Namum Lesner mengakui kedegilan dirinya untuk mendapatkan rawatan lanjut melawan divertikulitis.
"Saya di ambang mencipta sejarah terbesar UFC ketika itu. Saya 100 peratus sihat ketika menentang Randy (Couture) tetapi selepas itu, ia menjadi semakin buruk."
"Dalam kem latihan saya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada fizikal saya," katanya.
Namun penyakit itu juga membawa Lesnar ke medan WWE.
Kini, walaupun kontraknya semakin hampir ke penghujung Lesnar, 38, tetap bersemangat.
"Saya berasa desakan untuk terus bertarung," katanya.
