Mourinho bengang lagi
Pengurus Chelsea, Jose Mourinho sekali lagi mengkritik pengadil - kali ini dalam perlawanan Liga Juara-juara antara The Blues dan Dynamo Kyiv, awal pagi tadi.
Dapat difahami kemarahan Mourinho kerana melalui perlawanan itu Chelsea hanya memperoleh satu mata selepas perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.
Mourinho mengkritik tindakan Damir Skomina susulan insiden pada minit ke-16 apabila Cecs Fabregas dilanggar Serhiy Rybalka dalam kawasan kotak penalti.
Bagaimanapun, tiada sepakan penalti dihadiahkan Skomina buat anak buah Mourinho.
"Pengadil bersikap lemah dan naif terhadap penalti. Saya tak faham apa yang dilakukan penolong pengadil di belakang gawang. Dia tidak mengambil keputusan jelas," kata Mourinho selepas perlawanan selesai.
Sebelum ini Mourinho dihukum gantung satu perlawanan dan didenda £50,000 (RM320,648) oleh FA England selepas dia mengaku salah melanggar peraturan dengan memberi komen mengenai perlawanan diharunginya.
Ketika itu Mourinho mengkritik pegawai perlawanan selepas Chelsea tewas kepada Southampton 3 Oktober lalu.
Rooney bernostalgia
Menjelang aksi Liga Juara-juara bertemu CSKA Moscow awal pagi esok, penyerang Manchester United, Wayne Rooney mempunyai kenangan indah di Moscow.
Dia pernah menjulang trofil Liga Juara-juara musim 2007/2008 selepas menewaskan Chelsea melalui penentuan tendangan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Luzhniki, Moscow.
"Kemenangan itu menjadi kenangan terindah dalam karier saya. Malam istimewa untuk Manchester United, diri sendiri dan penyokong. Kami tak akan melupakannya," kata Rooney.
Memenangi trofil itu semula, kata Rooney, memberikan semangat untuk mengulangi detik indah itu sekali lagi.
"Tetapi suasana kali ini berbeza dari 2008. Semoga saya dan Micheal Carrick yang pernah menjualang piala ini dapat berkongsi pengalaman dan membantu pemain lain," tambahnya.
Casillas pecah rekod di Liga Juara-juara
Selepas mencatatkan rekod penampilan terbanyak di Liga Juara-juara, Iker Casillas kini memegang rekod penjaga gol 'kebal' paling lama di depan gawang.
Rekod penampilan terbanyak dicatat Casillas ketika diturunkan dalam perlawanan kedua Liga Juara-juara bertemu Chelsea September lalu dengan 152 kali perlawanan.
Rekod sebelum ini dipegang bintang Barcelona, Xavi Hernandez.
Kemenangan 2 - 0 Porto ke atas Maccabi Tel Aviv awal pagi tadi pula menyaksikan Casillas membuat 51 kemunculan tanpa melepaskan sebarang jaringan kepada pihak lawan.
Bekas penjaga gol Real Madrid itu mencatat rekod 51 perlawanan tanpa dibolosi dalam 153 perlawanan di Liga Juara-juara.
Ia sekali gus mengatasi rekod legenda Manchester United, Edwin van der Sar dengan 50 perlawanan tanpa bolos.
Bagaimanapun, Van der Sar hanya memerlukan 98 perlawanan untuk mencipta rekod tersebut.
Berikut senarai penjaga gol dengan rekod tanpa bolos terbanyak di Liga Juara-juara:
- Iker Casillas: 51
- Edwin van der Sar: 50
- Victor Valdes dan Petr Cech: 45
- Gianluigi Buffon: 37
Guardiola bangga walau tewas
Pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola tetap bangga dengan persembahan anak buahnya walaupun tewas 0 - 2 kepada Arsenal, awal pagi tadi.
Dua gol Arsenal pada hujung perlawanan membuatkan Bayern kalah kali pertama pada musim ini.
Bagaimanapun, Guardiola (gambar) menilai prestasi pemain semua pemainnya awal pagi tadi sebagai luar biasa.
"Kami menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang. Saya sangat bangga dengan cara kami bermain," katanya seperti dilaporkan BBC .
Tanpa Bale Ronaldo ada
Pengurus Real Madrid menepis dakwaan skuadnya bakal goyah dengan kecederaan dialami Gareth Bale menjelang perlawanan dengan Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi nanti.
Menurut Rafael Benitez, mereka masih memilik Cristiano Ronaldo untuk menyerang kubu pertahanan lawan.
Selain Bale, Madrid juga kehilangan Pepe, Daniel Carvajal, Karim Benzema dan James Rodriguez yang turut dibelenggu kecederaan.
"Memang beberapa pemain kami cedera, tetapi masih boleh bergantung kepada penjaring terbanyak Real Madrid di peringkat Eropah atau mungkin sepanjang sejarah bola sepak.
"Dia (Ronaldo) berdiri setara dengan Pele, mungkin," kata Benitez.
Di Liga Juara-juara musim ini pemain kebangsaan Portugal itu menjaring lima gol dalam dua perlawanan terakhir di samping menjadi penjaring terbanyak dalam saingan kali ini dengan meninggalkan Lionel Messi (Barcelona) di tempat kedua.
"Saya belum tahu siapa akan menggantikan Bale. Tetapi setiap pemain Real Madris perlu siap sedia jika diturunkan," katanya.
