Madrid gagal takluk PSG

Pertemuan Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid pada aksi Liga Juara-juara awal pagi tadi menyaksikan keputusan seri tanpa sebarang gol di Stadium Parc des Princes, Paris.

Kelibat Cristiano Ronaldo kali ini ternyata tetap gagal menembusi gawang gol PSG, malah secara keseluruhan asukan tuan rumah lebih menguasai perlawanan berbanding anak buah Rafael Benitez.

Penjaga gol PSG, Kevi Trapp mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan empat tindakan tangkas menafikan percubaan berbahaya Madrid, termasuk tandukan kencang Ronaldo pada minit ke-35.

Madrid pula hampir berputih mata dengan percubaan Edinson Cavani. Sayangnya umpanan silang Thiago Motta pada minit ke-49 itu gagal dimanfaatkan Cavani apabila ledakannya kurang tepat ke gol.

Keputusan itu menyaksikan PSG dan Madrid berkongsi tujuh mata dari tiga perlawanan. Namun, Madrid berada di tangga teratas kumpulan A dengan pebezaan gol dibolosi.

Sementara itu, Malmo FF mengalahkan Shakhtar Donetsk 1 - 0 hasil jaringan Markus Rosenberg pada minit ke-17.

Malmo kini di tangga ketiga dengan tiga mata, manakala Shakhtar belum memungut sebarang mata.

Man United terikat di Moscow

Hasrat The Red Devils mengulang kemenangan di kota Moscow akhirnya hampa apabila sekadar seri 1 - 1 diikat pasukan tuan rumah.

Penjaga gol Man United, David De Gea sepatutnya boleh menjadi wira apabila cemerlang menyelamatkan tendangan penalti Roman Eremenko.

Bagaimanapun bola kencang itu muntah semula ke kotak penalti dan ia ditolak masuk Seydou Doumbia.

Walaupun beraksi di Stadium Arena Khimki yang menjadi kubu lawan, Man United dilihat begitu mendominasi permainan apabila mencatatkan 72 peratus penguasaan bola berbanding CSKA Moscow.

Mereka bernasib baik selepas Anthony Martial berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65.

Man United dan CSKA masing-masing meraih empat mata dalam tiga perlawanan berada pada kedudukan kedua dan ketiga di bawah Wolfsburg yang menduduki tangga teratas Kumpulan B.

Wolfsburg di hadapan dengan enam mata, selepas meraih kemenangan 2 - 0 ke atas PSV Eindhoven.

Man City atasi Sevilla

Manchester City meneruskan keunggulan apabila mencatatkan kemenangan kali kedua dalam perlawanan Liga Juara-juara dan kini mengejar kedudukan Juventus di tangga teratas dalam saingan Kumpulan D.

Pada aksi di Stadium Etihad awal pagi tadi, Man City meraih kemenangan 2 - 1 ke atas Sevilla.

Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah apabila Yevhen Konoplyanka berjaya membuka jaringan buat pasukannya pada minit ke-30 perlawanan.

Bagaimanapun, Man City menyamakan kedudukan hanya dalam masa enam minit apabila pemain Sevilla, Adil Rami memberikan bonus dengan menjaringkan gol sendiri.

Hasrat Sevilla untuk mendapatkan satu mata dari kubu Man City tidak kesampaian. Ini kerana Kevin De Bryne mencatatkan gol kemenangan buat pasukannya pada akhir permainan.

De Bryune melepaskan tendangan ke gawang lawan selepas mendapatkan umpan daripada Yaya Toure.

Menerusi kemenangan ini, Man City mengumpulkan enam mata dan berada pada kedudukan kedua dalam saingan Kumpulan D.

Keputusan hari ini:

  • Atletico Madrid 4 - 0 Astana
  • Galatasaray 2 - 1 Benfica
  • CSKA Moscow 1 - 1 Man United
  • Juventus 0 - 0 Monchengladbach
  • Malmo FF 1 - 0 Shakhtar Donetsk
  • Wolfsburg 2 - 0 PSV Eindhoven
  • PSG 0 - 0 Real Madrid
  • Man City 2 - 1 Sevilla