JDT perkukuh kuda-kuda hadapi final Piala AFC
Teruja, berdebar dan tercabar pasti mengisi denyut nadi setiap pemain yang akan menyarung jersi JDT menjelang perlawanan akhir Piala AFC 2015 di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan hujung bulan ini.
Berdepan dengan kelab FC Istiklol JDT melakar sejarah tersendiri dengan kejayaan mereka melangkah ke perlawanan akhir biarkan pada satu ketika misi itu kelihatan hampir mustahil.
Bagi kapten JDT, Syafiq Rahim, dia yakin resipi terbaik untuk menggapai kejuaraan adalah patuh kepada arahan jurulatih.
"Selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang al-Qadsia SC dibatalkan, tumpuan pemain kini lebih kepada perlawanan akhir Piala AFC 2015.
"Kami perlu bekerja lebih keras dan mengikuti sebaik mungkin segala pencaturan yang dibuat oleh jurulatih (Mario Gomez) bagi membolehkan JDT membawa pulang piala tersebut," kata Syafiq seperti dilaporkan Johor The Southern Tigers dalam Facebook.
Sangat berbangga
Sebelum ini JDT tercicir 1 - 3 kepada kelab al-Qadsia SC dalam pusingan pertama separuh akhir Piala AFC di Kuwait.
Perlawanan pusingan kedua sepatutnya diadakan kelmarin di Larkin. JDT perlukan kemenangan sekurang-kurangnya 2 - 0 untuk membolehkan pasukan itu layak ke Dushanbe.
Namun rezeki bagaikan datang bergolek apabila Fifa memutuskan untuk menggantung kesatuan bola sepak Kuwait.
Ia sekali gus menyebabkan penyertaan al-Qadsia SC dalam saingan Piala AFC diharamkan.
Seorang lagi pemain JDT, Hariss Harun berkata kegembiraan adalah sesuatu yang pasti dirasainya selepas JDT berjaya melangkah ke perlawanan akhir.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian JDT, ia pertama kali buat saya dan pasukan.
"Ada yang mengatakan kami bernasib baik kerana perlawanan antara JDT dan al-Qadsia SC dibatalkan, tetapi pada saya tidak kira apapun, kami sudah berada di pentas akhir dan mahu memenanginya," kata Hariss.
Sementara itu Gomez ( gambar ) menyifatkan perlawanan akhir nanti amat penting buat JDT kerana ini adalah kali pertama sebuah pasukan dari Malaysia layak ke pusingan akhir di Piala AFC.
"Ramai yang gembira apabila pasukan dari Kuwait dihalang terlibat dalam mana-mana perlawanan antarabangsa. Tetapi bagi saya, kita perlu mengharungi cabaran setiap langkah demi langkah.
"Saya tidak tahu banyak tentang FC Istiklol, tetapi kami akan mengkaji profil pihak lawan bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi mereka dari segi mengenali pemain, stadium dan juga kekuatan dan kelemahan mereka," katanya.

