FAM cari jurulatih mampu lahirkan Messi, Rooney
Proses pemilihan dan saringan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan disifatkan di luar jangkaan berikutan wujud persaingan sengit di kalangan calon, termasuk dari luar negara.
Panel penilai dikatakan perlu memilih salah seorang daripada 30 pemohon yang berminat mengendalikan skuad Harimau Malaya yang kini sedang menghadapi kritikan hebat orang ramai.
Antara nama utama yang ada dalam senarai calon untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Dollah Salleh ialah bekas jurulatih Manchester United, Rene Meulensteen ( gambar bawah ) dan bekas jurulatih Chelsea, Ray Wilkins ( gambar atas ).
Bekas pengedalian pasukan kebangsaan, B Sathianathan berkata pemilihan jurulatih baru tersebut akan melibatkan proses saringan yang teliti sebelum mereka disenarai pendek untuk temuduga.
Sathianathan yang menjadi salah seorang panel penilai itu berkata, keputusan pemilihan kali ini mungkin di luar jangkaan kerana mereka mahukan tokoh yang betu-betul layak dilantik untuk jawatan itu.
"Kita tidak akan panggil semua calon yang memohon sebaliknya melakukan tapisan terlebih dahulu sebelum proses temuduga.
"Ini kerana ia melibatkan kos untuk membawa calon dari luar negara datang ke Malaysia.
"Kita tahu setiap jurulatih pastinya mahu menjadi jurulatih, tetapi pilihan kita perlu tepat dan sesuai dengan pasukan kebangsaan," katanya kepada Malaysiakini .
Situasi bola sepak negara berbeza
Menurut bekas jurulatih Kelantan itu, keutamaan pemilihan kali ini adalah untuk mendapatkan jurulatih yang mampu mengubah corak permainan pemain tempatan.
"Selain mereka mempunyai pengetahuan mengenai tahap persembahan pemain, jurulatih itu perlu ada kemahiran untuk membawa persembahan pemain tempatan ke tahap yang lebih baik.
"Cabarannya adalah untuk mengubah kemampuan pemain tempatan supaya dapat bersaing dengan pasukan hebat," jelas beliau.
Tambah Sathianathan, kemampuan jurulatih itu bukanlah berdasarkan rekod cemerlang yang dimiliki kerana situasi bola sepak di Malaysia berbeza dengan negara lain.
"Kita ada pengalaman mengambil jurulatih yang boleh membawa sesebuah negara hingga ke Piala Dunia, tetapi apabila membimbingan pasukan Malaysia mereka tidak mampu melakukan perubahan.
"Mereka bukan gagal, tetapi jurulatih tersebut kurang kemahiran untuk menyuntik perubahan corak persembahan pemain tempatan. Tetapi peranan penting juga perlu dimainkan oleh setiap pemain," kata Sathinathan.
Selain itu katanya, pada sesi temuduga itu kelak setiap calon akan dinilai berdasarkan pembentangan pelan mereka untuk skuad kebangsaan.
"Mereka perlu mengenal pasti bagaimana corak permainan kita sekarang, kemampuan barisan pemain dan aspek-aspek lain.
"Kalau mahu persembahan seperti kelab Barcelona kita kena ada potensi pemain seperti Lionel Messi, kalau Manchester United kena tengok ada ke pemain kita seperti Wayne Rooney," katanya.
Sementara itu, jurulatih yang turut mengemukakan permohonan ialah bekas pemain Liverpool, John Barnes; Marcel Desaily (bekas pemain Chelsea) dan bekas pengendali Kelantan dan JDT, Bojan Hodak serta Goerge Boateng.

