Harimau Malaya sah berjuang di Palestin
Biarpun FAM membangkitkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dalam perlawanan menentang Palestin pada November depan, Fifa nampaknya tetap percaya tiada keperluan lokasi perlawanan ditukar.
Biro Kelayakan Piala Dunia Fifa - dipengerusikan Juan Angel Napout - dilaporkan meneliti permohonan dibuat FAM yang meminta padang berkecuali dipilih untuk mempertemukan Harimau Malaya dengan Palestin.
Bagaimanapun dalam mesyuarat mereka di Zurich, Switzerland pada Selasa lalu mendapati lokasi perlawanan akan tetap dilangsungkan di Stadium Dura, Hebron.
Hebron adalah salah satu bandar di Tebing Barat dan menjadi antara lokasi yang sering terjadi konflik dengan Israel.
Malaysiakini pada 15 Oktober lalu menyiarkan laporan mengenai permintaan jurulatih sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee yang membangkitkan isu keselamatan bagi perlawanan 12 November ini.
Pertemuan itu adalah sebahagian daripada kempen Malaysia mencari tempat dalam saingan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu.
'Berperang' tanpa sorakan
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini FAM berkata Fifa membuat keputusan berkenaan selepas Pihak Berkuasa Palestin mengambil semua langkah perlu bagi menjamin keselamatan delegasi Malaysia sepanjang berada di Palestin nanti.
Selain itu, kata FAM, Fifa juga akan melantik pegawai keselamatan khas untuk bekerjasama secara terus dengan Persatuan Bola sepak Palestin (PFA) bagi memastikan perlawanan antara Palestin dan Malaysia itu berlangsung dalam keadaan baik.
Pada perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Jun lalu, Palestin menewaskan pasukan kebangsaan dengan jaringan 6 - 0.
Anak buah Kim Swee perlu memburu kemenangan ke atas Palestin sekiranya mahu pergi lebih jauh dalam saingan nanti.
Harimau Malaya akan menentang Emiriah Arab Bersatu di Stadium Shah Alam pada 17 November dan mereka tidak boleh mengharapkan sorakan semangat peminat kerana perlawanan itu akan dilangsungkan tanpa penonton.
Harimau Malaya sekali lagi perlu terbang ke Timur Tengah untuk melengkapkan cabaran bertemu Arab Saudi untuk aksi terakhir pada 24 Mac 2016.

