Ronaldinho bukan pilihan JDT
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menolak gosip yang mengatakan bintang Brazil dan bekas pemain terbaik dunia, Ronaldinho, akan menyertai skuad JDT.
Setiausaha Kehormat PBNJ, Fahmy Yahya dalam kenyataan semalam menafikan berita yang disiarkan akhbar Singapura sebelum ini.
"Kami menafikan bahawa pemain dari Brazil, Ronaldinho akan menyertai pasukan Johor Darul Ta'zim.
"Ini kerana PBNJ tidak mempunyai bajet yang besar seperti pasukan Pahang," katanya.
Terdahulu akhbar Singapura - dan laporan laman sesawang lain - melaporkan Ronaldinho yang terkenal dengan corak permainan menghiburkan serta berkemahiran tinggi - berada dalam radar JDT dan Pahang.
Ronaldinho, 35, adalah pemain kebangsaan Brazil yang pernah diangkat sebagai pemain bola sepak terbaik dunia pada 2004 dan 2005.
Dia kini beraksi untuk kelab negaranya, Fluminense FC.
Sebelum itu namanya menjadi pujaan ramai dan pernah bermain untuk pelbagai kelab di Eropah, termasuk Barcelona, Paris Saint-Germain dan AC Milan.
Kata Fahmy, ketika ini polisi PBNJ adalah menyasarkan mencari pemain muda untuk mengisi kuota pemain import dalam skuad JDT.
"Pemain Brazil tersebut juga tidak berada dalam senarai perancangan jurulatih JDT, Mario Gomez untuk mengisi kekosongan pemain import pasukan Harimau Selatan," jelas beliau.

