Sukan bola keranjang Malaysia kehilangan salah seorang legendanya apabila Annie Goh Koon Gee, 70, menghembus nafas terakhirnya awal pagi tadi.

Goh yang menerima gelaran "bintang penjaring" ketika zaman kemuncaknya membuat kemunculan pertama di pentas antarabangsa ketika baru berusia 20 tahun di Seoul pada 1965.

Dalam kejohanan FIBA Asia itu dia muncul sebagai salah seorang empat penjaring terbanyak.

Tiga tahun kemudian di Taipeh, Goh dinamakan sebagai pemain terbaik dan mengulangi kehebatannya itu selepas membantu Malaysia melangkah ke separuh akhir di Kuala Lumpur pada 1970.

Mendiang juga dinamakan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1968. Beliau menjadi satu-satunya atlet mewakili sukan bola keranjang pernah memenangi pengiktirafan itu.

Laman web fiba.com melaporkan Goh juga satu-satunya pemain Malaysia - sama ada lelaki atau perempuan - dipilih menyertai skuad Pilihan Asia untuk mengadakan lawatan dan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bagaimanapun amalan itu kini tidak lagi diteruskan.

Goh menerima anugerah pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dairpada kerajaan pada 1983.