Sultan Johor iringi JDT ke Dushanbe
Seluruh rakyat negeri Johor khususnya peminat bola sepak pastinya tidak sabar untuk melihat pasukan kesayangan mereka, JDT, beraksi di pentas final Piala AFC 2015 akhir bulan ini.
Menggalas cabaran besar di Dushanbe, Tajikistan, pengalaman pertama ke peringkat akhir pertandingan itu pastinya turut dinantikan seluruh rakyat Malaysia sama ada yang suka atau tidak terhadap JDT.
Apa yang lebih penting, skuad Harimau Selatan bakal mendapat suntikan moral daripada Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan beliau hari ini memaklumkan keberangkatan Sultan Johor itu ke Tajikistan.
"Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Ibrahim yang akan berangkat ke Tajikistan untuk menyaksikan detik yang amat bersejarah ini terutama bagi seluruh rakyat Johor," katanya dipetik dari Facebook Johor The Southern Tigers.
Kata Tuanku Ismail, perjalanan menuju perlawanan akhir Piala AFC merupakan satu kisah amat mencabar. Lebih mencabar lagi, kata beliau, adalah kerana memandangkan ia kali pertama JDT bersaing dalam kejohonan berkenaan.
Namun begitu, katanya, segala usaha mereka membuahkan hasil dan layak ke peringkat akhir adalah satu "pencapaian hebat".
Tambah Tengku Mahkota Johor itu, semua itu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan peminat dan penaja JDT.
"Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya kepada semua penyokong dan penaja sekalian.
JDT dijadualkan berdepan FC Istiklol pada 31 Oktober ini untuk merebut gelaran juara Piala AFC 2015.

