La Liga: Barcelona, Madrid kini bersaing rapat
Barcelona terus merapatkan jurang dengan kedudukan pesaing utamanya, Real Madrid di kedudukan teratas La Liga selepas menewaskan Eibar pada perlawanan kesembilan, awal pagi tadi.
Walaupun tanpa kehadiran penyerang berbisa Lionel Messi, Barcelona ternyata dilengkapi kehebatan Luis Suarez yang menyumbang gol hatrik pada aksi di Stadium Camp Nou itu.
Tiga mata penuh yang dikutip skuad Luis Enrique itu meletakkan mereka di tangga kedua liga dengan 22 mata menyamai pungutan mata Madrid namun dibezakan dengan jumlah jaringan.
Pada aksi yang turut diwarnai dengan kad merah yang diterima oleh Javier Mascherano itu, pasukan pelawat mendahului gol seawal minit ke-10 melalui Borja Baston.
Bagaimanapun, kerja keras pemain Barcelona berjaya menyamakan jaringan dengan tandukan Suarez yang memanfaatkan hantaran silang Sandro Ramirez di hadapan gawang Eibar.
Kesilapan pertahanan Eibar yang tidak mengawal ketat pergerakan Suarez membawa padah, penyerang dari Uruguay itu menyempurnakan umpanan Neymar pada minit ke-48.
Pada minit ke-83, Barcelona terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mascherano dikenakan kad merah susulan mengeluarkan kata-kata kasar kepada pengadil.
Namun, insiden itu tidak menghalang pasukan tuan rumah menambah jaringan seminit selepas Mascherano keluar padang. Suarez melengkapi hatrik peribadinya sekali gus meraikan kemenangan bergaya pasukan.

