Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan Harimau Malaya mengalami kekalahan teruk 0 - 10 kepada skuad Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata faktor utama antaranya adalah tahap kecergasan pemain yang terikat dengan jadual ketat perlawanan.

Menurut beliau, kecergasan pemain ketika itu berada di tahap rendah disebabkan terpaksa mengharungi liga (tempatan) yang padat serta perlawanan antarabangsa.

"Beberapa pemain utama juga tidak disenaraikan dalam perlawanan tersebut kerana mengalami masalah kecederaan seperti Junior Eldstal dan Joseph Kalang Tie," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kapar G Manivanan dari PKR.

Kuasa jurulatih

Terdahulu Manivanan mengemukakan meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai punca dan faktor penyebab kekalahan memalukan skuad Harimau Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada 3 September lalu.

Selain itu beliau turut meminta penjelasan mengenai usaha untuk mengatasi masalah disiplin penyokong Harimau Malaya.

Khairy berkata, KBS akan mencadangkan kepada FAM bekerjasama dengan pihak polis supaya penyokong yang mempunyai rekod gejala samseng akan disenarai hitam daripada memasuki stadium.

"Kementerian turut mempertimbangkan cadangan supaya penonton menulis nama dan kad pengenalan pada tiket masing-masing bagi memudahkan kerja-kerja mengenalpasti hooligan ," katanya.

Sementara itu, mengenai proses pemilihan pemain pasukan kebangsaan Khairy berkata, ia terletak di bawah kuasa jurulatih kebangsaan yang dilantik FAM, manakala kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya.

Sementara itu, pada saingan sama ketika menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam 8 September lalu segelintir penyokong mencetuskan kekecohan kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan kepada UAE dan FAM.