Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ancelotti setuju ganti Mourinho jika...
Diterbitkan:  Oct 28, 2015 11:15 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Carlo Ancelotti dilaporkan akan kembali ke Stamford Bridge - dengan syarat Jose Mourinho dipecat dan dia ditawarkan kontak kekal.

Media di England melaporkan Ancelotti memberitahu rakannya, dia sedang mempertimbangkan kemungkinan kembali ke kancah EPL jika mendapat tawaran daripada Chelsea.

Dia pernah mengendalikan kelab itu memenangi kejuaraan berganda pada musim 2009/2010 tetapi dipecat secara kontroversi setahun kemudian.

Mourinho pula ketika ini dilihat bagai telur di hujung tanduk selepas gagal mempamerkan persembahan kemas dengan Chelsea.

Selepas 10 perlawanan The Blues di bawah The Special One hanya berada di tempat ke-15 dan dibezakan dengan 11 mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

Daripada 10 perlawanan anak buah Mourinho kalah lima kali dan beberapa pemain mendakwa hayat pengurus dari Portugal itu seolah-olah sedang menuju titik penamat.

Dua tokoh lain

Pada masa sama khabar angin mendakwa pemilih Chelsea, Roman Abramovich mengaku menyesal memecat Ancelotti empat setengah tahun lalu.

Ancelotti kini tidak membimbing mana-mana pasukan selepas meletak jawatan sebagai Pengurus Real Madrid beberapa bulan lalu.

Dengan situasi semasa Chelsea, Abramovich yakin kelabnya berada dalam keadaan amat bahaya dan mungkin terlepas daripada persaingan Liga Juara-juara.

Seorang lagi tokoh yang disebut sesuai menggantikan Mourinho adalah Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone.

Namun jika Simeone menjadi pilihan Abramovich, bilionair itu perlu mengeluarkan belanja besar kerana bekas pemain Argentina itu masih diikat kontrak bernilai lebih £20 juta (RM130.92 juta) sehingga 2020.

Keterbatasan bahasa juga mungkin menyukarkan Simeone untuk mengambil kuasa sebagai pengurus di Stamford Bridge.

Seorang lagi tokoh yang digemari Abramovich ialah Pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola namun setakat ini tiada sebarang rundingan antara kedua-dua pihak berlangsung.

Lihat Komen
ADS