Selalu ditanya mengenai prestasi penyerang Wayne Rooney, Pengurus Manchester United Louis Van Gaal mengakui muak melayan soalan berkenaan.

Rooney setakat ini hanya menyumbang dua gol dalam sembilan perlawanan di EPL.

Ketajaman serangan Rooney juga menghampakan ketika United benar-benar memerlukan sentuhan ajaib ketika mereka bertemu musuk setempat, Manchester City Ahad lalu.

Statistik perlawanan menunjukkan, Rooney - ditugaskan sebagai penyerang tunggal oleh Van Gaal - hanya mampu melepaskan satu tendangan.

Itu pun tersasar dari gawang City.

Malah bekas pemain Everton itu perlu menunggu sehingga minit ke-79 untuk membuat sentuhan pertama di kawasan petak penalti.

Valencia berduka

Susulan itu, wartawan bertanyakan mengapa pemain berusia 30 tahun itu diletak pada posisi penyerang utama.

Reuters melaporkan Van Gaal sebalilknya mempersoalkan pertanyaan wartawan.

"Mengapa saya perlu bercakap mengenai Rooney setiap minggu?" kata pengurus dari Belanda itu.

Kata Van Gaal, jika wartawan mempunyai pandangan sendiri mengenai Rooney, mereka boleh menulisnya dan dia tidak perlu menjawab.

"Saya bosan dengan soalan-soalan begitu," tambah beliau.

Sementara itu, Van Gaal turut menegaskan pemainnya, Antonia Valencia mengalami kecederaan kaki ketika bertemu City dan kemungkinan tidak akan diturunkan pada perlawanan Piala Liga bertemu Middlesbrough, awal pagi nanti.

"Dia terkena tendangan di kaki ketika separuh masa pertama, tetapi meneruskan permainan. Namun, akhirnya dia mengalah," katanya dilaporkan laman web manutd.com semalam.