Kempen sokong Rossi dapat sambutan
Kempen untuk mendesak pihak pengurusan MotoGP memansuhkan penalti ke atas Valentino Rossi dan mengembalikan integriti pertandingan itu dilaporkan sudah ditandatangani hampir 500,000 orang.
Petisyen yang dimuat naik oleh Nicholas Davis dari United Kingdom mendapat sokongan ramai di seluruh dunia ekoran keputusan MotoGP mengenakan hukuman ke atas Rossi kerana terbabit dalam kemalangan dengan Marc Marquez di Grand Prix Malaysia hujung minggu lalu.
Petisyen itu diterjemah ke pelbagai bahasa termasuk Czech, China, Denmark, Belanda, dan Indonesia bagi membantu penggeraknya meraih sokongan ramai.
Memetik kandungan dari laman petisyen tersebut, Davis turut mempersoalkan keputusan MotoGP melepaskan Jorge Lorenzo walaupun pelumba itu memintas pencabar lain ketika bendera kuning dikibarkan.
"Integriti MotoGP kini dalam penghinaan. MotoGP bukan sahaja membenarkan taktik kotor malah menghukum Rossi," kata petisyen berkenaan.
Sengaja khianat
Reaksi melalui laman tersebut secara keseluruhannya menyokong tindakan Davis dan Rossi.
Paparan komen juga rata-rata mempersoal tindakan MotoGP dan Marquez secara peribadi ketika dalam perlumbaan.
Melalui laman Facebook Rossi pula, beliau berterima kasih kepada peminat atas sokongan yang diberikan kepadanya.
"Terima kasih kepada semua atas sokongan hebat anda. Membaca (komen anda) telah membantu saya mengatasi kepahitan dan kemarahan," kata Rossi.
Grazie a tutti per il fantastico supporto,leggervi mi ha aiutato a superare amarezza e incazzatura.Da oggi si lavora per Valencia.
Posted by Valentino Rossi VR46 Official on Tuesday, October 27, 2015
Media melaporkan juara dunia sembilan kali itu turut mengesahkan beliau akan tetap menyertai perlumbaan di Valencia, Sepanyol nanti.
Penungang Movistar Yamaha yang kini mendahului rakan sepasukan Jorge Lorenzo dengan tujuh mata dalam merebut kejuaraan Kejohanan Dunia MotoGP, akan bermula dari grid terakhir di Sepanyol.
Ia sebagai hukuman terhadap Rossi yang didakwa sengaja 'mengkhianati' Marquez sehingga dia terkeluar daripada perlumbaan Grand Prix Malaysia.

