Tempoh lantik jurulatih M'sia hingga hujung tahun
FAM mempunyai masa sehingga hujung tahun ini untuk melakukan pemilihan dan melantik jurulatih baru pasukan bola sepak kebangsaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Mohktar Ahmad berkata, permohonan yang diterima daripada calon akan diperhalusi dan ditapis dengan teliti.
"Permohonan dibuat melalui sekretariat, selepas dikumpul mereka akan serahkan kepada unit teknikal pemilihan.
"Kita terima kira-kira 30 permohonan, buat masa sekarang senarai baru sahaja diserahkan kepada bahagian teknikal," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelaya Jaya, hari ini.
Tambah Abdul Mokhtar, seksyen teknikal akan memperhalusi permohonan sebelum dibentangkan dan menyediakan satu laporan.
"Kemudian ia akan diserahkan kepada bahagian panel pemilihan, tetapi setakat ini kita belum muktamadkan siapa panel yang terlibat," katanya.
Sementara itu, sebelum ini FAM mengumumkan tarikh tutup permohonan jawatan itu adalah pada 31 Oktober ini.
Bagaimanapun, Abdul Mokhtar berpendapat, sekiranya masih ada permohonan selepas tarikh itu pihak masih boleh dipertimbangkan untuk dinilai.
"Jurulatih kebangsaan ini kita bukan mahu sekarang, hujung tahun nanti bolehlah kita mulakan," katanya.
Sebelum ini jawatan jurulatih kebangsaan dilepaskan oleh Dollah Salleh selepas skuad Harimau Malaysia diaibkan dengan jaringan 0-10 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
FAM kemudiannya melantik bekas jurulatih skuad bawah 23, Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya sebelum pemilihan jurulatih baru dilakukan.
Dalam senarai terkini permohonan, bekas jurulatih Manchester United, Rene Meulensteen dan bekas jurulatih Chelsea, Ray Wilkins dikatakan antara individu yang mencuba nasib.
Selain itu, permohanan juga dibuat oleh bekas pengendali kelab Liverpool, John Barnes, bekas pemain Chelsea, Marcel Desaily, bekas pengendali Kelantan Bojan Hodak dan Goerge Boateng.

