Penantian Jurgen Klopp - dan penyokong Liverpool - untuk meraih kemenangan pertama sebagai kelab itu di bawah kendalian pengurus baru akhirnya tercapai apabila The Kop menang tipis 1 - 0 kepada AFC Bournemouth, awal pagi tadi.
Saingan Piala Liga itu menjadi perlawanan keempat The Kop bersama Klopp yang sebelum ini sekadar mencatatkan dua keputusan seri pada aksi EPL dan satu dalam saingan Liga Eropah.
Klopp tentu dapat menarik nafas lega walaupun sekadar menurunkan barisan pemain muda untuk memburu kemenangan di Anfield.
"Ini kemenangan pertama saya. Perasaan saya tentu lebih baik berbanding keputusan seri (sebelum ini)," katanya sebaik perlawanan selesai.
"Saya betul-betul puas hati dan pemain muda menampil aksi yang baik. Kami memiliki banyak peluang walaupun ditentang pasukan yang menurunkan hampir semua pemain utama mereka," katanya.
Menurut Klopp Liverpool menguasai permainan dan memang layak menang.
Pencapaian itu, katanya, sangat penting kerana mereka bertemu pasukan baru dalam EPL.
"Ia satu perkara positif untuk pasukan," tambah jurulatih dari Jerman itu.
Sementara itu, Klopp turut memuji penampilan Roberto Firmino yang dilihat sebagai watak utama bagi pasukannya.
"Firmino pemain yang mempunyai kekuatan aspek fizikal dan itu sangat penting di EPL.
"Dia mempunyai sentuhan yang baik, boleh menyerang malah mampu lebih tajam untuk merebut bola," ujar Klopp.
Selain itu, Klopp perlu berterima kasih kepada Nathaniel Clyne yang membolosi gawang Bournemouth yang dikawal Adam Federici pada minit ke-17 untuk kemenangan tersebut.
