"Aku tak sangka sebab tiket yang dijual di kaunter stadium memang sangat terhad.

"Biasanya tiket habis kerana ramai penyokong beli secara online. Kalau nak beli di kaunter, kita kena beratur seawal jam 9 pagi," kata Aliff menyambung cerita 'pengembaraannya' di tanah Inggeris.

Bagaimanapun dia mencuba nasib. Dan ternyata pada hari itu nasib menyebelahi Aliff. Selepas beratur, dia dapat membeli tiket berkenaan.

Dan bukan itu saja tuah yang datang kepada bekas wartawan berkenaan.

"Tak sangka dapat beli, malah aku dibawa berjalan ke sekeliling dan ke seluruh pelusuk stadium oleh Mr Darren Corrigan yang sangat baik hati," katanya.

Corrigan, kata Aliff, adalah salah seorang kakitangan kanan di stadium berkenaan.

"Satu lagi bonus apabila aku dapat melihat koleksi simpanan peribadi Steven Gerrard yang dipamerkan di tingkat satu dalam Anfield.

"Dapat juga tengok kasut dipakai Xabi Alonso sepanjang musim2004/2005 termasuk ketika muncul pememang piala Liga Juara-juara UEFA itu," katanya.

Alonso adalah salah seorang pemain di zaman emas Liverpool yang ketika itu diurus oleh Rafael Benitez.

Sesuatu yang 'gila'

Alonso, 33, meninggalkan Anfield untuk menyertai kelab elit La Liga, Real Madrid pada 2009 hingga 2014 sebelum mengikuti Pep Guardiola mencari cabaran baru bersama Bayern Munich dalam Bundesliga sehingga kini.

Menceritakan pengalaman pertama kali memasuki Anfield, Aliff berkata, ia suatu yang "gila".

"Sebaik masuk ke Anfield, aku rasa macam masuk ke alam lain. Alam yang menyatukan manusia bersama di bawah satu bendera, iaitu The Liverbird. Bab teruja tu, jangan tanyalah.

" The Kop ini, hanya ada satu perkataan saja boleh menggambarkannya - "gila".

"Sama ada kau menang, seri atau kalah, The Kop akan setia sampai ke sudah," katanya.

Di sisi lain, kata Aliff, ada perkara menarik sedang berlaku di Liverpool dan kecenderungan itu semakin merebak ke seluruh United Kingdom, iaitu kempen Twenty's Plenty .

"Ia adalah protes warga Liverpool - dan penduduk Everton - terhadap kenaikan harga tiket untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Mereka sedang sibuk berkempen dan memprotes harga tiket yang semakin melambung," katanya.

Menurut Aliff, harga tiket di Anfield dijual mengikut kategori iaitu A, B dan C mengikut klafikasikan perlawanan melibatkan Liverpool dengan sesuatu pasukan.

"Misalnya kategori A adalah perlawanan antara Liverpool menentang Manchester United, Chelsea, Everton dan Manchester City tiket dijual lebih mahal, Harga paling murah ialah £46 (sekitar RM301).

"Kalau kategori B, Liverpool lawan kelab seperti Stoke City, West Ham United dan kelab yang setahap dengannya.

"Tiket paling murah ialah £41 (RM267)," katanya.

Justeru, kata Aliff, itulah isu diperjuangkan penyokong Liverpool sekarang - supaya harga tiket diturunkan kepada £20 (RM130).

Ditanya selama mana dia akan berada di Liverpool, ini jawapan Aliff: "Aku akan tinggal di sini hingga kami meraih kemenangan pertama di bawah Jurgen Klopp". (Bersambung)

[Baca siri pertama]