Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Eva kini 'menekan' Mourinho, Chelsea
Diterbitkan:  Oct 29, 2015 5:39 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Setakat ini bahaya dihadapi Chelsea bukan saja terus diaibkan kerana prestasi merudum, malah mungkin perlu menghadapi saman daripada bekas pegawai perubatannya, Eva Carneiro.

Walau apa pun yang berlaku dalam tempoh terdekat ini, kedua-dua masalah itu berpunca daripada orang sama - Jose Mourinho.

The Telegraph melaporkan, Eva dan Chelsea gagal mencapai persetujuan untuk mencari penyelesaian terhadap beberapa isu berbangkit selepas pegawai perubatan itu meletak jawatan.

Kecuali ada perjanjian di saat-saat akhir, pilihan yang ada untuk Eva adalah mengemukakan tuntutan rasmi kepada tribunal pekerjaan yang memungkinkan Chelsea dikenakan denda ratusan ribu pound.

Tarikh akhir untuk Eva mengemukakan tuntutan secara rasmi adalah minggu depan.

Eva tidak hadir bertugas sejak dia dan pegawai fisiologi Chelsea, Jon Fearn diketepikan Mourinho kerana merawat Eden Hazard ketika kelab mereka bertemu - dan seri - dengan Swansea City pada 8 Ogos lalu.

Dia akhirnya 'mengaku kalah' untuk meneruskan kerjaya di Stamford Bridge bulan lalu dan memulakan rundingan untuk mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil.

Insiden cetus kajian semula peraturan

Jika kes itu dirujuk kepada tribunal, pampasan yang boleh diterima Eva bukan saja kerana kehilangan pendapatan, malah ganti rugi akibat cercaan Mourinho selepas insiden di padang itu, selain kritikan The Special One kemudiannya.

Selepas lebih satu aduan dibuat kepada FA England, pengurus Chelsea itu dibebaskan daripada tuduhan mendiskriminasi wanita.

Keputusan itu mendorong Eva, 42, membuka mulut untuk menceritakan kisahnya melalui kenyataan bertulis.

Antara lain dokumen itu mendedahkan insiden dialaminya bersama Mourinho selepas Chelsea bertemu West Ham United pada musim lalu.

Difahamkan Eva kini berada di Qatar dan dijangka kembali ke England untuk menangani isunya bersama Chelsea menjelang tarikh akhir yang ditetapkan badan bola sepak negara itu.

Sementara itu media melaporkan, insiden Eva dan Mourindo mendorong Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mempertimbangkan peraturan baru melarang pengurus campur tangan dalam hal perubatan dan rawatan pemain.

Mana-mana pengurus atau jurulatih yang melanggar peraturan itu boleh didenda.

Kes Eva juga menyebabkan FA England mengkaji semula proses siasatan terhadap aduan yang diterima, selepas salah seorang anggota badan itu, Heather Rabbatts.

Rabbatts mengutuk FA England yang menyiasat aduan terhadap Mourinho - dan membebaskan pengurus berkenaan - tanpa memanggil Eva untuk memberi keterangan.

Lihat Komen
ADS