Dua pemain baru dipanggil menentang Palestin
Dua pemain baru dipanggil bagi melengkapkan senarai 23 pemain skuad Harimau Malaya menghadapi Palestin di Stadium Dura di Hebron, 12 November ini.
Ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mengekalkan skuad 21 pemain yang menewaskan Timor Leste 1 - 0 pada 13 Oktober lepas, dan memanggil dua pemain JDT iaitu Gary Steven Robart dan S Chanturu untuk menyertai latihan pusat pada 6 November ini.
Mereka dipanggil bagi menggantikan kapten Perak, Nasir Basharudin yang patah pergelangan tangan dan penyerang Mohd Safee Sali yang menjalani penggantungan, untuk perlawanan keenam Harimau Malaya dalam Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu.
Bagaimanapun, Mohd Safee yang digantung kerana mengutip kad kuning kedua ketika menentang Timor Leste, diminta melapor diri pada 13 November untuk menghadapi perlawanan ketujuh menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November di Stadium Shah Alam.
"Saya membuat keputusan mengekalkan 21 pemain lain kerana bagi saya, ini bukan masanya melakukan eksperimen. Kita berada dalam situasi yang mana tidak membenarkan saya membuat banyak perubahan dalam senarai pemain.
"Jadi, berdasarkan kombinasi yang sudah ada bermula dari perlawanan bertemu Arab Saudi (8 September lepas) diikuti pertemuan dengan Laos dan Timor Leste, saya lihat keserasian pemain bertambah baik dan pada masa sama juga, sudah terlalu suntuk melakukan perubahan drastik," katanya.
Kini di tangga keempat
Dalam pada itu, Kim Swee dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM turut meminta 11 lagi pemain yang berada dalam senarai menunggu untuk bersedia menyertai latihan skuad negara jika ada pemain utama cedera ketika beraksi dalam perlawanan Piala Malaysia pada 4 dan 5 November ini.
"Saya boleh panggil mereka serta-merta memandangkan kita akan bertolak ke Palestin pada 6 November. Senarai 11 pemain ini adalah mewakili setiap posisi.
"Begitu juga jika terdapat kecederaan atau penggantungan selepas aksi bertemu Palestin, kemungkinan saya akan panggil mana-mana pemain daripada senarai menunggu ini," katanya.
Sebelas pemain dalam senarai menunggu ialah Ahmad Fakri Saarani (Kelantan), Nurridzuan Abu Hassan (Perak), Redzuan Suhadi (Pulau Pinang), Ronny Harun (Sarawak), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor), Badrul Hisham Morris (T-Team).
Turut ada dalam senarai ialah Syahrul Azwari Ibrahim dan penjaga gol Farhan Abu Bakar (Harimau Muda B) serta Fazly Mazlan, Nazrin Nawi dan Mahalli Jasuli (JDT).
Malaysia kini menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam Kumpulan A dengan empat mata menerusi satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Senarai 23 pemain negara:
Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid, Izham Tarmizi Roslan, Razman Roslan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shahrul Saad, Matthew Davis, Nazirul Naim Che Hashim, Zubir Azmi, Amirizdwan Taj Tajuddin, S. Kunanlan, Safiq Rahim, Baddrol Bakhtiar, Ismail Faruqi Ashari, Azammuddin Akil, Hafiz Kamal, Wan Zack Haikal Wan Nor, Christie Jayaseelan, Gary Steven Robbat, S. Chanturu, Adam Nor Azlin, Mohd Amri Yahyah dan Ahmad Hazwan Bakri.
- Bernama

