Kira-kira jam 3 pagi semalam (9 malam waktu tempatan) Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp turun padang untuk kali keempat.

Seri dalam ketiga-tiga perlawanan itu menyebabkan kelab itu - dan penyokong mereka - amat dahagakan kemenangan. Paling tidak, demi maruah untuk bual di depan kawan-kawan.

Bertempat di Anfield, The Kop turun dalam saingan Piala Liga menentang pendatang baru EPL, Bournemouth.

Ikuti catatan penyokong tegar The Kop dari Pudu, Aliff Fikri yang berkelana ke Anfield.

Kemenangan ke atas Bournemouth semalam (Piala Capital One) sebenarnya biasa saja tetapi ia adalah detik pertama untuk Jurgen Klopp mencatat kemenangan pertama - walaupun bukan dalam saingan EPL.

Tapi penyokong Liverpool meraikannya macam 'orang gila'. Suasana Anfield Road dah macam ada demonstrasi BERSIH pula.

Aku tidak masuk ke stadium kali ini. Cukup di sekitar kawasan tempat berlangsung perlawanan itu. Ada banyak pub yang membuka televisyen yang menayangkan secara langsung perlawanan Liverpool - Bournemouth.

The Albert nama tempat aku bersidai sesama "bangsa Merah" kali ini. Premis ini terletak betul-betul di depan stadium dan pintu The Kop Stand.

Kawasan ini terletak di Jalan Walton Breck.

Tak tanya dari mana

Aku tidak pernah menjejak kaki ke sini tetapi 'bangsa Scouse' disatukan oleh Liverpool.

Biasanya setiap kali aku masuk ke pub di sini, akan ada yang bertanya: Kamu "merah" atau "biru"? Sudah tentu aku akan menjawab dengan jujur, "merah".

Hidup akan menjadi lebih indah selepas itu. Aku dapat minuman dan makanan ringan percuma ketika cuaca di luar berada di tahap tujuh atau lapan darjah Celsius.

Pengunjung pub di sini tidak bertanya orang yang tidak mereka kenali dengan soalan "datang dari mana" tetapi ada maklumat lebih penting yang perlu mereka ketahui - "merah" atau "biru".

Apabila sesama penyokong "merah" bertemu kami akan berborak panjang seolah-olah sudah saling mengenali sejak 10 tahun silam.

Untuk kau yang belum jelas, istilah "merah" itu tentulah merujuk kepada Liverpool, manakala "biru" bermaksud Everton, iaitu satu lagi kelab sekampung yang ada di daerah Merseyside, barat laut England.

Ketika perlawanan berlangsung peminat tempatan begitu teruja dan seperti biasa akan memberikan komen masing-masing.

Daripada apa yang aku dengar, ada dua nama yang mereka puji iaitu Roberto Firmino (yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan semalam) dan pemain muda yang mereka label sebagai "Deco baru".

Dua pelawat Asia bikin gempar

Pemain muda itu pernah mendapat anugerah Pemain Terbaik Akademi Liverpool musim lalu tetapi langsung tidak mendapat tempat dalam skuad di bawah Brendan Rodgers.

Nama pemain itu ialah Joao Teixeira.

Sehari sebelum perlawanan berlangsung ada kekecohan berlaku di Anfield. Ada ramai polis datang berkumpul dari tengah hari hingga malam.

Mereka datang bukan saja-saja membuang masa, sebaliknya dilaporkan ada dua lelaki Asia 'hilang' ketika menyertai rombongan melawat stadium kira-kira jam 1.30 petang.

Mula-mula polis polis menjalankan pemeriksaan dan mencari biasa, tetapi kira-kira jam 3 petang siren stadium berbunyi.

Tidak lama kemudian lima buah kereta polis datang bersama unit anjing pengesan. Polis bimbang kalau bom dipasang di dalam stadium.

Pada jam 7 malam polis keluarkan kenyataan mereka belum mengesan dua lelaki yang hilang secara tiba-tiba itu dan tidak dapat memberi jaminan suspek masih berada dalam bangunan berkenaan.

Habis semua jalan di kawasan itu ditutup.

Setakat semalam, lelaki itu khabarnya belum ditemui dan orang mula meragui sama ada lelaki itu benar-benar hilang, atau sekadar satu gimik menjelang perlawanan.

Kalau kau nak tahu, semasa perlawanan suasana dalam The Albert memang 'rabak' dan kecoh. Rata-rata penonton bersetuju corak permainan Liverpool jaul lebih baik berbanding perlawanan menenyang Southhampton hujung minggu lalu.

Kebanyakan penyokong lega sebab kami menang juga akhirnya, tapi masih tak puas hati sebab ada antara pemain masin terikut-ikut sistem Rodgers.

Ada seorang peminat - berusia 30-an dan tak sempat aku tanyakan namanya - berkata, Klopp mahu anak buahnya bermain cara heavy metal, tapi ada empat lima pemain muda masih ikut corak pengurus lama yang bermain irama koir gereja. Perlahan melampau.

Kata pemuda itu, sepatutnya Liverpool boleh menang besar kalau semua pemain ikut rentak heavy metal Klopp.

Nampaknya penat jugalah Klopp nak ubat Liverpool ini.

Ada seorang pemuda lain aku nampak dia mengeluh kalau bola sampai ke kaki seorang pemain.

"Aduhai, anak angkat Rodgers ni!" kata dia.

Siapa nama pemain yang dikeluhkannya itu? Joe Allen namanya. Ha ha ha...

Siri 1: Kembara The Kop: Dari Pudu ke Anfield

Siri 2: Kembara The Kop: Tuah datang bertimpa