Wakil Malaysia yang beraksi di Liga Bola Keranjang Asean (ABL) 2015, kini siap sedia menghadapi perlawanan pertama musim ini ditentang pencabar baru dari Filipina, Pacquiao Powervit Pilipinas Aguilas (Aguilas), esok.

Ketua jurulatihnya, Ariel Vanguardia yakin dengan langkah awal pasukannya selepas beberapa perubahan baru dilakukan.

Katanya, Dragons akan tampil dengan wajah-wajah baru dan pemain muda yang lebih berpotensi untuk mengharungi cabaran sepanjang musim ini.

Musim lalu, Dragons memenangi 15 daripada 20 perlawanan sekali gus melayakkan diri ke peringkat play-off sebelum menamatkan cabaran di tangga kedua liga.

"Pasukan kita bertambah baik pada setiap perlawanan musim lepas. Kami muncul sebagai pilihan utama dalam 19 perlawanan.

"Ini membuktikan kejayaan hasil kerja keras pasukan dan saya berharap perkara sama untuk pasukan supaya lebih ke hadapan pada musim ini.

“Ia menjadi matlamat pasukan seterusnya," kata Vanguardia.

Perlawanan pertama dan kedua ABL 2015 pada Selasa lalu dan semalam menyaksikan kemenangan Hi-Tech Bangkok ke atas Singapore Slingers dan kemenangan tipis Aguilas ke atas Mono Vampire Basketball Club.

Hilangan pemain veteran

Ditanya mengenai persiapan Dragons musim ini, Vanguardia turut mengakui terkesan dengan kehilangan beberapa pemain veteran serta pemain utama pasukannya.

Bagaimanapun beliau percaya, melalui perubahan itu juga akan memperkuatkan lagi pasukan.

"Wong Yi Hou merupakan pemain terakhir kami dari bangku simpanan pada musim lalu dan dia akan beraksi tahun ini. Inilah antara perubahan kita.

"Bagi saya itu positif, saya dilatih bermain bola keranjang di kolej dan kami akan kehilangan senior yang akan tamatkan pengajian, tetapi ia tidak bermakna kita tidak akan berusaha dengan lebih baik lagi," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan tipis Aguilas ke atas Mono Vampire yang berkesudahan 79-78 semalam, Vanguardia memberi amaran bahawa lawan mereka akan lebih bersemangat pada perlawanan kedua.

"Semalam mereka hampir dimalukan di gelanggang sendiri dan esok mereka pasti akan lebih bersemangat. Jadi kita perlu lebih berhati-hati.

"Selain itu, Aguilas juga terdiri daripada pemain veteran Persatuan Bola Keranjang Filipina (PBA). Jadi (perlawanan esok) tidak akan menjadi satu tugas mudah untuk kita, "katanya.

Perlawanan di Stadium MABA, Kuala Lumpur esok akan menyaksikan sama ada Drangos mampu mengatasi kelab milik bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao tersebut.