Walaupun tampil dengan barisan pemain baru dan muda, Westsport Malaysia Dragons (Dragons) mempamerkan keunggulan tersendiri dalam perlawanan pertama Liga Bola Keranjang Asean (ABL) 2015 di Stadium Bola Keranjang Maba, petang ini.

Kali ini wakil dari Malaysia itu menewaskan kelab dari Filipina, Pacquiao Powervit Pilipinas Aguilas (Aguilas).

Anak buah Ariel Vanguardia ternyata membuktikan keupayaan mereka sebagai pasukan kedua terbaik pada musim lalu, walaupun pasukan lawan dilihat lebih gah dengan barisan pemain veteran.

Malah, apa yang boleh dibanggakan Dragons - mereka berjaya mengutip jaringan besar iaitu 107 berbanding kelab milik petinju Filipina, Manny Pacquiao yang memungut 82 mata.

Suku masa pertama menyaksikan Dragons menguasai gelanggang keramat mereka sekali gus menandingi lawan dengan 33 jaringan berbalas 16.

Keupayaan Dragons ternyata lebih menyerlah dengan kemahiran berpasukan yang dipamerkan pemain, berbanding taktikal individu yang lebih menonjol pada musim lalu.

Bagaimanapun, pada suku masa kedua Aguilas yang juga pendatang baru di arena ABL bangkit mengatasi tuan rumah.

Dragons disentak dengan kebangkitan anak didik Zaldy Realubit apabila lebih memonopoli pusingan kedua perlawanan dengan jaringan 28-19 sebelum perlawanan direhatkan.

Bersambung suku masa ketiga, saingan lebih sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun penguasaan gelanggang lebih memihak kepada Dragons apabila mengatasi Aguilas 29-20.

Sementara pada suku masa terakhir, Dragons yang diperkuat dengan empat pemain import itu tampil menamatkan perlawanan dengan jaringan 26-18.

Ketajaman gerakan Dragons membolehkan mereka mengatasi lawan 107 berbanding 82.

Dua pemain import Dragons, iaitu Matthew Wright dan Calvin Godfrey masing-masing menyumbang 25 jaringan pada perlawanan tersebut.