Jurulatih lumba basikal Terengganu meninggal dunia
Jurulatih Lumba Basikal Terengganu, Rozimi Omar meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung malam tadi.
Bernama melaporkan Rozimi, 43, yang berasal dari Tanah Lot Dungun, Terengganu dikatakan meninggal selepas dikejarkan ke Hospital Putrajaya, kira-kira pukul 8.20 malam.
Pelumba negara Ahmad Syazlin Awang Ilah, 18, berkata, beliau bersama empat lagi pelumba lain serta jurulatih tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, sebaik sampai mereka semua bertolak ke rumah seorang pengurus di Putrajaya bagi mengambil van untuk bertolak pulang ke Terengganu.
"Kami semua baru tiba di KLIA sekembalinya dari menyertai kejohanan Lumba Basikal BMX ACC di Mynmar.
"Sebaik sampai di rumah pengurus terbabit di Putrajaya, Rozimi cuba membuka pintu van untuk menyimpan barang kami dan tiba-tiba dia rebah," katanya ketika dihubungi Bernama .
Pengurus terbabit terus menghubungi ambulans dan mengejarkan beliau ke Hospital Putrajaya.
Anak hajat jumpa hari ini
Jelasnya bagaimanapun pegawai perubatan mengesahkan arwah meninggal sebaik menerima rawatan lanjut.
Katanya, jenazah Rozimi akan dibedah siasat di Hospital terbabit sebelum dibawa pulang ke Dungun.
Sementara itu anak arwah Rozimi, Muhammad Noor Rafiq Rozimi dalam satu tulisan di Facebooknya meluahkan rasa sedih kerana tidak berpeluang bertemu buat kali terakhir dengan ayahnya.
"Saya tidak mempunyai peluang bertemu ayah dalam cuti semester ini.
"Saya berhajat mahu jumpa ayah esok (hari ini), tapi diberitakan dengan pemergiannya. Dia seorang yang baik hati, sentiasa ada untuk saya tapi sekarang sudah berbeza," katanya.
Mengulas mengenai kerjaya ayahnya, Muhammad Noor Rafiq berkata, arwah Rozimi banyak membantu atlet berbasikal sehingga meraih kejayaan.
"Tetapi sekarang mereka kehilangan guru yang banyak mengajar sehingga merekan menjadi seorang yang terkenal," katanya.

