Menang Piala AFC dan mencipta rekod bukan sahaja di Malaysia malah memecah monopoli kejuaraan pasukan Asia Barat menjadi kebanggaan besar buat penyokong tegar JDT.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT, Azman Abd Jalil menyifatkan kemenangan kali ini pastinya memberi satu kepuasan buat seluruh penyokong skuad Harimau Selatan.

"Walaupun ini adalah penyertaan pertama JDT di pentas AFC kita tetap mengharapkan yang lebih baik di masa akan datang.

"Itu boleh dicapai dengan keserasian yang ada sekarang.

"Sebagai penyokong saya sendiri amat berpuas hati dengan kejayaan JDT kali ini, malah pemain JDT iaitu Syafiq Rahim dipilih sebagai pemain terbaik sepanjang musim AFC tahun ini," katanya kepada Malaysiakini , hari ini.

Azman kini berada di Dubai bersama rombongan JDT untuk berangkat pulang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, jam 8.30 pagi esok.

Jaringan tunggal pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan pada Sabtu.

Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga diraih JDT musim ini, selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 31 Jan lepas, selain menjuarai Liga Super 2015.

TMJ perlu rak piala baru

Sementara itu, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempamerkan "kebanggaan" beliau dengan cara tersendiri untuk meraikan kejayaan pasukannya.

"Nampak gayanya saya perlukan rak piala yang baru," kata Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu dalam satu tulisan di Facebook Johor Southern Tiger, semalam.

Tulisan itu turut disertakan gambar beliau sedang melihat sebuah rak yang dipenuhi dengan piala.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua persatuan dan penyokong dari seluruh negara yang telah memberikan kata-kata semangat dan ucapan tahniah kepada JDT dalam menjuarai Piala AFC tahun ini," kata Tunku Ismail lagi.