Kembara Aliff Fikri bersambung lagi. Di Stamford Bridge dia bukan saja melihat The Blues melutut diasak Liverpool, Jose Mourinho disorak dan penyokongnya dipersenda.

Di gelanggang kebangsaan Chelsea di kota London itu Aliff membuat analisis spontan sekali gus membayangkan keyakinannya bahawa The Kop akan bangkit dengan gah semula di tangan Jurgen Klopp.

Berikut catatan seterusnya daripada Aliff.

Berdasarkan pemerhatian aku, ada sekurang-kurangnya lima perkara penting dapat dilihat daripada perlawanan Liverpool - Chelsea minggu lepas.

Bagaimanapun, ini adalah pemerhatian peribadi aku. Kau mungkin bersetuju atau tidak, tetapi kita seharusnya bersikap terbuka.

Mentaliti positif Klopp

Beberapa saat selepas Chelsea berjaya menjaringkan gol pertama mereka, fokus kamera terus terarah kepada Klopp. Nampak dia amat kecewa dengan cara anak buahnya melepaskan gol.

Tetapi daripada itu juga dapat dilihan reaksi Klopp yang mahu pemainnya jangan patah semangat. Dengan penuh emosi dia berteriak sekuat hati: "Come on! Come on!" .

Dia juga membuat isyarat potong leher (itu sangat berbeza dengan Brendan Rodgers yang pasti hanya akan mencatat dan terus mencatat).

Pada sidang media selepas keputusan seri dengan Southampton sebelum ini, Klopp tegas mengatakan masalah utama Liverpool adalah terlalu cepat mengalah ketika lawan mendapatkan gol.

"Kami melepaskan gol di hujung permainan dan pemain berasa dunia seolah-olah kiamat. Hakikatnya ia bukan begitu dan kami mesti berubah," katanya.

Selepas terikat 1 - 1 dengan Chelsea, Klopp tidak mahu Liverpool mudah puas hati, terikut gaya lama bermain back pass , sebaliknya dia mahu terus menyerang.

Christian Benteke dibawa masuk menggantikan James Milner. Ini adalah tactical switch kepada serangan bercorak lebih fizikal dan langsung. Nah, kedudukan lalu menjadi 2-1.

Apabila di depan, Klopp tidak berhenti di situ.

Ketika semua orang berharap Lucas - yang berpotensi dikenakan kad merah - dikeluarkan, Klopp memasukkan Jordon Ibe untuk terus menekan pertahanan Chelsea, sekali gus mengekalkan tempo menyerang.

Dua atau tiga minit sebelum perlawanan tamat, baru Dejan Lovren dimasukkan dan serta-merta menarik rakan-rakan lain agar lebih ke belakang. Tidak ada back pass dan ' parking bas' dalam kamus Klopp.

Jurgen adalah pengurus pertama Liverpool selepas Bob Paisley (1974) yang tidak kalah 5 perlawanan pertama.

Karakter

Perkataan ini memang amat melucukan kerana Rodgers selalu menyebutnya sebelum ini, walhal tidak ada langsung karakter yang boleh dibanggakan ketika Liverpool di bawah kendaliannya.

Buat kali pertama sejak perlawanan dengan Leicester City pada Disember tahun lalu, Liverpool berjaya bangkit daripada ketinggalan gol dan mengutip mata penuh.

Semua pemain berjaya meneruskan perlawanan dengan sistem dan pelan sedia ada tanpa terganggu oleh gol Chelsea.

Christian Benteke

Apabila Rodgers membawa masuk Benteke dari Aston Villa pada Julai lalu, banyak perdebatan berlaku mengenai apakah dia pemain paling sesuai untuk berada di garis depan selaku penyerang Liverpool. Lebih merumitkan keadaan, Benteke, 24, cedera di awal musim.

Tapi di bawah kendalian Klopp setakat ini, pemain berjersi nombor 9 ini menjadi watak penting Liverpool; menjaringkan gol sebaik masuk dari bangku simpanan ketika bertemu Saints (Southampton) dan Chelsea.

Dia juga terlibat dengan gol kedua Liverpool jaringan Coutinho. Tanpa Benteke, mungkin tidak ada gol tambahan untuk Liverpool.

Benteke mungkin bukan penyerang yang mempunyai skil hebat tapi sekurang-kurangnya dia cepat menyesuaikan diri sebagai 'target man' terutama sepanjang ketiadaan Daniel Sturridge.

Prestasi Coutinho

Mana lebih penting sekarang ini - konsisten setiap perlawanan atau menjaringkan gol?

Prestasi Coutinho kebelakangan ini dikritik hebat oleh penyokong Liverpool. Sejak menjaringkan gol pada perlawanan pertama bertemu Stoke, tidak ada apa hasil yang memuaskan daripada Coutinho, sama ada menyumbat gol atau membantu rakan sepasukan mebuat jaringan.

Kemorosotan prestasi Coutinho dilihat berulang lagi dalam pertemuan dengan Chelsea apabila membuat hantaran 'ke laut', gelecekan tidak menjadi dan rembatan ke bulan.

Coutinho dilihat sangat kecewa kepada diri sendiri - sehinggalah dia menjaringkan gol, dan segalanya berubah.

Coutinho masih jauh daripada prestasi sebenarnya dan jaringan menakjubkan pada separuh masa pertama bukan pengukur untuk terus mengatakan "the little magician is back" .

Pada separuh masa kedua, dia dapat bergerak dengan baik di garis tengah dan bermain dengan kemas bersama Firmino. Gol kedua selepas itu aku rasa barulah titik permulaan untuk mengatakan "the little magician is back" kerana Liverpool bermain kelmarin bukan untuk apa-apa kecuali menang.

James Milner dan 60 minit yang gagal.

Milner yang memakai lilitan kapten beraksi lebih kurang 63 minit di Stamford Bridge. Bagi aku, dia agak lembap, gagal berfungsi dan hanya berjaya melakukan satu hantaran kemas di babak pertama.

Tidak ada apa yang boleh dibanggakan kecuali kerajinannya berlari ke segenap kawasan padang.

Dengan kepulangan semula Jordan Henderson tidak lama lagi dan sistem susunan pemain Liverpool berubah daripada 4-3-2-1 yang ada kini, kedudukan Milner pasti terancam jika dia tidak meningkatkan prestasi.

Lebih parah lagi, Jurgen sudah tentu akan membawa masuk seorang atau dua pemain apabila musim pembelian dibuka semula Januari nanti.

Kembara The Kop (1): Dari Pudu ke Anfield

Kembara The Kop (2): Tuah datang bertimpa

Kembara The Kop (3): Alahai anak angkat Rodgers...

Kembara The Kop (4): Liverpool 'sangat teruk'

Kembara The Kop (5): Aduhai Rent Boy, aduhai