FA England semalam secara rasmi memberi kata putus mengenai hukuman kepada Pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

‎Jurulatih berasal dari Portugal itu dikenakan larangan masuk ke stadium pada satu perlawanan dan denda sebanyak £40,000.

‎Hukuman itu ekoran tindak-tanduk Mourinho selepas skuad The Blues bertemu West Ham United pada 24 Oktober lalu.

Pada perlawanan itu Chelsea tewas 2 - 1, manakala Mourinho mempamerkan kekesalan secara berlebihan.

Berdasarkan laporan FA‎ England, Mourinho berniat memasuki bilik khas pengadil sejurus tamat aksi separuh masa pertama.

Tindakan The Special One itu menyebabkan pegawai perlawanan mengarahkan Mourinho menonton perlawanan dari tempat duduk penyokong mulai separuh masa kedua.

"Pengurus Chelsea mengakui dakwaan berhubung bahasa atau perilakunya kepada pegawai perlawanan di dalam atau di sekitar kawasan bangku simpanan ketika mereka melawan West Ham 24 Oktober 2015," lapor kenyataan rasmi badan induk bola sepak England itu.

Cuma dari tepi

Sementara itu, bagi Mourinho ia adalah hukuman ketiga diterimanya dalam tempoh sebulan.

Tiga minggu lalu dia dikenakan denda £50,000 akibat mengkritik pengadil selepas Chelsea tewas kepada Southampton.

Melalui hukuman terbaru kali ini, The Special One tidak lagi dapat memberi sebarang arahan secara langsung kepada anak buahnya ketika mereka bertemu Stoke City, Sabtu ini.

Selain menghadapi denda, Mourinho dilihat turut tertekan dengan kemungkinan dipecat susulan prestasi buruk juara EPL musim lalu itu.

Ppergaduhannya dengan bekas doktor skuad Chelsea, Eva Carneiro, juga didakwa memburukkan lagi keadaan Mourinho di Stamford Bridge.