Gol ke-237 Rooney menangkan Man United
Selepas aksi kurang menyengat di persada Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United menang tipis ke atas CSKA Moskva dalam saingan Liga Juara-juara, awal pagi tadi.
Kemenangan 1-0 skuad bimbingan Louis Van Gaal itu sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan B.
Bintang Red Devils, Wayne Rooney muncul sebagai penyelamat apabila berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke- 79 permainan.
Jaringan itu dikatakan dapat melenyapkan kritikan ke atas pemain berusia 30 tahun yang mengalami kemarau gol pada musim ini.
Bagaimanapun, lebih penting Rooney memberikan gol ke 237 milik peribadinya sepanjang bersama Man United. Rekod itu menyamai jumlah gol legenda Denis Law.
Pada aksi di Old Trafford itu, Man United dilihat kurang kreativiti untuk memperdaya benteng pertahanan lawan sejak seawal permainan.
Bagaimanapun, Rooney akhirnya berjaya mengambil peluang hasil hantaran silang Jesse Lingard meletakkan Man United sebagai pendahulu kumpulan B dengan tujuh mata hasil empat perlawanan.
Sementara itu, satu lagi aksi kumpulan itu menyaksikan PSV Eindhoven mengenepikan Wolfsburg dengan jaringan 2-0.

