Sekitar 10,000 penyokong JDT hadir memeriahkan majlis meraikan pemain dan pegawai pasukan itu yang menjuarai Piala AFC 2015 malam tadi.

Berlangsung di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB), majlis dimulakan dengan perarakan bas membawa pemain bersama Piala AFC melalui 17 lokasi sebelum tiba di di situ pada jam 9 malam.

Sepanjang perarakan, bas dinaiki pemain itu turut dialu-alukan peminat di sepanjang jalan laluan bermula dari Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Jabatan Pengangkutan Jalan lama, Jalan Tun Razak, City Square, Jalan Wong Ah Fook, Tropical Inn, Jalan Trus, Kotaraya, Jalan Ibrahim dan Jalan Tun Dr ISmail.

Perarakan itu kemudiannya melalui Lot 1, Hospital Sultanah Aminah, Gerbang Istana Bukit Serene, KFC dan berhenti di Dataran MBJB.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga anggota parlimen Pagoh meluangkan masa beramah mesra dengan barisan pemain JDT dan rakyat Johor yang hadir ke majlis tersebut.

Sementara itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memberi sumbangan derma sebanyak RM1 juta kepada anak-anak yatim di Johor.

Dalam satu kenyataan di Facebook, baginda berkata, sumbangan derma tersebut adalah nazar baginda sekiranya kemenangan berpihak kepada pasukan JDT dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015.

Selain itu, Piala AFC tersebut akan dipamerkan di semua daerah dalam Johor sekembalinya Tengku Mahkota Johor dari luar negara nanti.

Tan Sri Muhyiddin hadir di majlis meraikan kemenangan JDT JOHOR Southern Tigers selaku Juara Piala AFC 2015 di Dataran Bandaraya Johor Bahru sebentar tadi.

Posted by Muhyiddin Yassin on Tuesday, November 3, 2015