FAM 'tak beri muka'
Dua pemain, seorang pegawai dan dua persatuan bola sepak dikenakan tindakan tatatertib oleh FAM selepas didapati melakukan kesalahan berasingan.
Pemain Sarawak, Joseph Kallang Tie menerima hukuman digantung lima perlawanan susulan tindakannya menyerang pemain Perak semasa perlawanan Piala Malaysia 2015 di Stadium Negeri, Kuching pada 17 Oktober lalu.
Tindakan itu diambil selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati pemain tersebut bertindak menyerang pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan.
Penggantung Joseph turut melibatkan perlawanan secara automatik iaitu perlawanan Sarawak bertemu JDT pada 24 Oktober ini.
Dalam perlawanan Perak - Sarawak itu juga, Mohd Nor Hakim Isa (Perak) didapati bersalah menyerang pemain lawan. Justeru Mohd Nor Hakim menerima hukuman sama seperti diterima Joseph.
Di samping digantung lima perlawanan, kedua-dua pemain terbabit turut didenda RM1,500 dan diberikan amaran keras, dan boleh dihukum lebih berat jika mengulangi kesalahan sama.
Dalam satu kenyataan hari ini, FAM turut mengambil tindakan ke atas seorang pegawai pasukan Sarawak, Mohd Hysham Adenan kerana menyerang pemain pasukan Perak dalam insiden tersebut.
Mohd Hysham turut digantung lima perlawanan dan denda RM1,500 serta amaran keras.
Sementara itu, tindakan turut diambil terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNT) dan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (PBPP) susulan kelakuan liar penonton pada dua perlawanan berasingan 12 September lalu.
"FAM melalui Jawatankuasa Tatatertib yang bermesyuarat hari ini membuat keputusan selepas mendapati penyokong kedua-dua pasukan itu melanggar Artikel 70 para 1 kod Tatatertib FAM 2015.
"Artikel tersebut bersabit tanggungjawab bagi kelakuan penonton dan hukuman denda sebanyak RM17,500 dikenakan kepada PBNT dan RM30,000 terhadap PBPP," kata kenyataan tersebut.
Selain itu, jawatankuasa itu menegaskan kesalahan yang dilakukan oleh penonton kedua-dua pasukan itu adalah kesalahan berulang mengikut Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015.
Pada perlawanan Piala Malaysia 2015 antara Terengganu menentang pasukan JDT II di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, penyokong pasukan Terengganu didapati bertindak liar dengan membakar suar, mercun dan kerusi stadium.
Penyokong pasukan Pulau Pinang pula didapati bertindak membaling batu selepas perlawanan antara pasukan Pulau Pinang menentang pasukan Selangor PKNS FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Kedua-dua persatuan itu turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

