Sah Malaysia, Palestin tidak bertarung di Palestin
Sebelum wisel permulaan permainan ditiup pengadil nanti, sekurang-kurangnya ada satu faktor sudah melegakan Harimau Malaya - pemain dan pegawai skuad kebangsaan tidak perlu bimbang lagi terhadap aspek keselamatan.
Asalnya dijadual bermain di Stadium Dura di Hebron, Tebing Barat, perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Palestin sepatutnya berlangsung pada 12 November ini.
Disebabkan Tebing Barat adalah kawasan konflik kerana terdedah kepada keganasan rejim Zionis, jurulatih Malaysia Datuk Ong Kim Swee ( gambar ) sebelum ini menyatakan kebimbangannya terhadap pemilihan gelanggang itu.
Beliau kemudian menuntut supaya Fifa memberikan jaminan keselamatan jika enggan menerima permohonan Malaysia supaya perlawanan itu diadakan di lokasi berkecuali.
Tiada jaminan dari Palestin
Pada 22 Oktober lalu Fifa mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang pindaan dibuat berhubung lokasi perlawanan.
Bagaimanapun sebentar tadi Fifa mengesahkan perlawanan pusingan kedua itu akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali.
Keputusan itu diambil selepas anggota biro darurat pusingan kelayakan Piala Dunia Fifa membabitkan wakil Bahrain, Sheikh Salman Ebrahima al-Khalifa, Juan Angel Napout (Paraguay) dan Michel D’Hooghe (Belgium) bersidang hari ini.
Turut diubah, perlawanan antara Palestin - Arab Saudi.
Menurut Fifa, keputusan mengubah lokasi perlawanan dibuat ekoran mesyuarat badan induk bola sepak dunia itu dengan pegawai keselamatan dan Pihak Berkuasa Palestin semalam.
"Pihak berkuasa di Palestin tidak lagi dapat memberi jaminan keselamatan bagi perlawanan yang dijadualkan," kata kenyataan itu.
Perlawanan Palestin - Arab Saudi sepatutnya diadakan pada esok ditunda kepada 9 November, manakala Palestin - Malaysia tetapi dilangsungkan pada tarikh sama - 12 November.
"Fifa meminta Persatuan Bola Sepak Palestin menyediakan butiran mengenai gelanggang berkecuali yang akan menjadi tempat pertemuan kedua-dua perlawanan itu," katanya.

