Piala Malaysia: TRW 'balik awal', Felda iringi Selangor
Harapan pasukan Kelantan agar keajaiban memihak kepada mereka berakhir dengan kekecewaan apabila mereka gagal menempah tempat ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015.
Walaupun menang bergaya 3 - 1 menundukan T-Team, nasib tidak menyebelahi The Red Warriors (TRW) apabila pesaing mereka - Felda United - beraksi cemerlang dengan menewaskan Selangor 3 - 2, sebentar tadi.
Dalam saingan Kumpulan C itu, slot suku akhir menjadi milik Selangor dan Felda apabila masing-masing mengumpul 10 dan sembilan mata, manakala Kelantan terpaksa berpuas hati di tangga ketiga dengan lapan mata.
Pada aksi separuh masa pertama, tuah dilihat menyebelahi Kelantan apabila berjaya menjaring dua gol mengatasi T-Team, manakala Felda United ketinggalan 0 - 1 kepada Selangor.
Namun, kebangkitan Felda di separuh masa kedua membolosi tiga gol Selangor melenyapkan harapan TRW sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan.
Terengganu, JDT II senasib
Selain itu, dalam saingan akhir kumpulan D pula menyaksikan Pulau Pinang dan PDRM terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia selepas PKNS FC dan Pahang mendahului mereka.
PKNS FC menjadi peneraju kumpulan tersebut selepas menang bergaya 3 - 0 ke atas PDRM, manakala Pulau Pinang sekadar seri tanpa jaringan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu.
Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan kelab dari Singapura Lions XII dan pasukan Kedah melangkah kaki ke saingan kalah mati selepas berjaya mengumpul mata tertinggi dalam kumpulan tersebut.
Dua pasukan dalam kumpulan tersebut iaitu Terengganu dan JDT II senasib dengan Kelantan.
Ringkasan keputusan:
Kumpulan A
Johor Darul Takzim II 2 - 4 Kedah FA
Terengganu 1 - 2 Lions XII
Kumpulan B
ATM FA 2 - 2 Sarawak
Kumpulan C
Felda United 3 - 2 Selangor
Kelantan 3 - 1 T-Team
Kumpulan D
Pahang 0 - 0 Pulau Pinang
PKNS FC 3 - 0 PDRM

