Sikap setiasa berhati-hati serta pantas bertindak membolehkan juara tenis wanita dunia, Serena Williams menjadi "hero" ketika mematahkan cubaan seorang lelaki mencuri telefon bimbitnya.

Melalui media sosial Serena menceritakan "pengalaman sangat lazat" itu semalam.

Ketika itu, kata Serena, dia sedang menikmati hidangan di sebuah restoran Cina dan menyedari gerak-geri mencurigakan seorang lelaki berhampirannya.

Sambil menikmati hidangan itu, cerita Serena, dia berwaspada dengan pergerakan lelaki terbabit.

Jangkaannya ternyata benar - lelaki itu tiba-tiba meluru ke meja makan pemain tenis dari AS itu dan melarikan diri.

Namun Serena, 34, tidak mati akal atau berdiam diri sebaliknya tangkas bangkit lalu mengejar si pencuri.

Malang bagi lelaki itu kerana dia mungkin menyangka cubaannya dapat dijayakan dengan mudah dan mengabaikan hakikat bahawa mangsanya adalah seorang atlet.

Pura-pura tersilap

Menurut saksi, Serena berjaya memintas lelaki itu "secepat kilat" dan menahannya.

Serena kemudian bertanya kepada si pencuri mengapa dia mengambil telefon bimbit berkenaan.

"Saya dengan garang bertanya jika lelaki itu tersalah ambil telefon. Mungkin tidak menyangka dia terperangkap lelaki itu tergagap-gagap untuk menjawab.

"Sambil mencari helah untuk melepaskan diri, dia akhirnya berpura-pura kononnya keliru dan tersalah ambil telefon," kata Serena.

Moral kepada kejadian itu - pesan Serena - ialah jangan menyangka wanita dapat diperdaya dengan mudah.

"Sentiasa dengar bisikan hati dan berhati-hati dengan barangan anda. Perjuangkan hak anda. Jadilah adi wira," katanya.

Ketika dia kembali ke mejanya, orang ramai berdiri dan bertepuk tangan.

"Saya sangat bangga. Saya membuktikan kepada semua orang di situ bahawa saya boleh bertahan terhadap pembulian. Ia adalah kejayaan untuk wanita!" katanya.

Soooooo yesterday at dinner the CRAZIEST THING happened to me. I was sitting enjoying some Chinese food (delicious may I...

Posted by Serena Williams on Wednesday, November 4, 2015