Bekas kapten Liverpool Steven Gerrard memang mungkin kembali ke Anfield dan ia diakui pengurus The Kop sendiri, Jurgen Klopp semalam.

Bagaimanapun pengangum legenda Liverpool itu jangan terlalu cepat seronok.

Walaupun kepulangan Gerrard dialu-alukan Klopp, ia hanyalah terhad untuk latihan dan mungkin - selepas ini - tugasan di belakang tabir.

"Pintu sentiasa terbuka untuk menempatkan Gerrard pada peranan tertentu apabila dia menamatkan kerjayanya di LA Galaxy, tetapi ia ditakdirkan dalam perancangan jangka panjang.

"Ia juga terhad kepada peranan di belakang tabir," katanya.

Sebelum ini ada beberapa laporan media mendakwa bekas kapten pasukan England yang kini beraksi di Liga AS akan 'pulang' ke Anfield yang pernah memahat namanya dengan harum.

Semua orang boleh belajar

Media juga mendakwa Gerrard sudah berhubung dengan Klopp mengenai hasratnya itu.

Semalam Klopp menjelaskan, dia memang ada berkomunikasi dengan Gerrard.

"Saya bercakap dengannya sekali, dan berbalas mesej beberapa kali.

"Perbualan kami berniat baik dan Gerrard mahu memastikan kecergasannya tetap berada di tahap tertinggi ketika liga AS berehat dengan berlatih di Melwood," katanya.

Melwood adalah tempat latihan rasmi bagi pasukan Liverpool.

Hasil perbualan itu Klopp juga mengakui Gerrard seorang pemain yang sangat baik.

"Dia memang legenda Liverpool tetapi kontraknya kini adalah dengan kelab di AS.

"Saya katakan kepada Gerrard, ketika liga di sana berehat, dia boleh datang ke sini pada bila-bila masa, berlatih dengan kami dan buat apa yang baik untuk dirinya," kata Klopp.

Mengenai desas-desus Gerrard kembali bermain untuk Liverpool, Klopp bertanya kepada wartawan yang membangkitkan soalan itu: "Adakah kamu berasa dia patut bermain dengan kami ketika ini atau tahun depan? Tidak? Justeru mengapa kamu bertanya saya?"

Awal tahun ini Pengerusi Liverpool Tom Werner membayangkan rancangannya mendapatkan peranan sesuai untuk Gerrard tetapi belum ada perancangan konkrit dibentangkan setakat ini

"Semua orang boleh belajar daripada Gerrard tetapi saya akan cuba memahaminya," kata Klopp.