Bukan sahaja tewas, malah dibolosi lima gol dari Bayern Munich menyaksikan gergasi EPL, Arsenal, tempang dalam aksi Liga Juara-juara, awal pagi tadi.
Kemenangan Bayern dengan keputusan 5 - 1 itu sekali gus melengkapkan misi balas dendam anak buah Pep Guardiola terhadap The Gunners.
Dua minggu lalu, Bayern tewas 0 - 2 kepada Arsenal dalam aksi di Emirates dalam saingan kumpulan F itu.
Tiga mata penuh yang dikutip Bayern meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan walaupun berkongsi sembilan mata dengan Olympiakos yang berada di kedudukan kedua tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan.
Arsenal pula terpaksa mengundur ke tangga ketiga selepas sekadar berkongsi tiga mata dengan Dinamo Zagreb di tempat keempat.
Sementara itu, Guardiola menyifatkan kemenangan besar yang dicatat Bayern itu adalah hasil suntikan gol pertama yang diperoleh mereka.
"Para pemain tampil luar biasa, khususnya pada separuh masa pertama pertama.
"Dalam 10 minit pertama, kami juga melakukan beberapa kesalahan dan Arsenal tampil berbahaya. Namun, gol pertama membuat segalanya lebih mudah," kata jurulatih dari Sepanyol itu.
Gol sendiri Dynamo Kyiv
Lima gol Bayern itu hasil jaringan Robert Lewandowski seawal minit ke-10, Thomas Mueller (minit ke-29 dan 89), David Alaba (minit ke-44) dan Arjen Robben (minit ke-55), manakala gol tunggal skuad Arsene Wenger dijaringkan Olivier Giroud pada minit ke-69.
Satu lagi perlawanan melibatkan kumpulan F antara Olympiakos yang menewaskan Zagreb 2 - 1.
Sementara itu, perlawanan kumpulan G menyaksikan Chelsea menang tipis 2 - 1 ke atas Dynamo Kyiv di Stamford Bridge.
Gol sendiri oleh pemain Dynamo Kyiv, Alexander Dragovic pada minit ke-34 memberi peluang The Blues mendahului perlawanan.
Bagaimanapun Dragovic menebus kesilapannya apabila mencipta gol penyamaan di separuh masa kedua.
Namun, nasib masih menyebelahi skuad bimbingan Jose Mourinho apabila Willian muncul sebagai hero dengan gol kemenangan di hujung masa perlawanan.
Setakat ini Chelsea berada di tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata berbanding pendahulu, FC Porto yang mengutip 10 mata.
Ringkasan keputusan perlawanan keempat 5 November:
Kumpulan E
Barcelona 3 - 0 BATE Borisov
Roma 3 - 2 Bayer Leverkusen
Kumpulan F
Bayern Munich 5 - 1 Arsenal
Olympiakos 2 - 1 Dinamo Zagreb
Kumpulan G
Chelsea 2 - 1 Dynamo Kyiv
Maccabi Tel Aviv 1 - 3 FC Porto
Kumpulan H
Gent 1 - 0 Valencia
Lyon 0 - 2 Zenit St. Petersburg
