Aura JDT sebagai pasukan berprestij terus 'terpancar' selepas menumpaskan The Bos Gaurus 2 - 1 di Stadium Ipoh, Perak sebentar tadi.

Dalam saingan peringkat kumpulan B Piala Malaysia itu, JDT mempertahankan rekod tanpa kalah mereka untuk perlawanan kelima.

Walaupun sudah mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir lebih awal, skuad Harimau Selatan tetap 'bernafsu' memburu kemenangan.

Walaupun dikejutkan dengan awal gol tuan rumah pada minit ke-29 oleh Charles Souza Chad, JDT tidak menunggu terlalu lama selepas menyamakan tiga minit kemudian.

Gol penyamaan oleh Amri Yahyah itu merancakkan lagi penguasaan JDT ke atas Perak.

Bagaimanapun, aksi berbalas serangan dan kesungguhan yang dipamerkan menunjukkan kedua-dua pasukan begitu mahukan kemenang.

Lebih-lebih bagi Perak yang hanya mencatat satu kemenangan sepanjang saingan peringkat kumpulan itu.

Ada 15 mata

Menjelang masa tambah separuh masa pertama, JDT melebarkan jurang dengan Perak apabila tandukan Safee Sali mencecah gawang Perak.

Bersambung babak masa kedua, Perak dilihat lebih agresif melakukan serangan demi serangan ke bahagian pertahanan JDT.

Namun, kekebalan seperti mana ditunjukkan pemain pertahanan JDT ketika perlawanan akhir Piala AFC menentang FC Istiklol baru-baru ini terus dipamerkan.

Rentak permainan perlahan, tenang dan bertahan dapat dipersembahkan anak buah Mario Gomez sepanjang separuh masa kedua sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

Kemenangan JDT itu terus meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan B dengan mengumpul 15 mata.

Mereka masih berbaki satu perlawanan ditentang Sarawak sebelum memulakan langkah di peringkat suku akhir.