Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Karim Benzema didakwa bersubahat peras ugut
Diterbitkan:  Nov 6, 2015 3:54 AM
Dikemaskini: Nov 6, 2015 2:11 AM

Akhirnya sah - Karim Benzema didakwa secara rasmi di mahkamah atas tuduhan memeras ugut rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Perancis.

Turut disiasat dalam kes itu dua individu lain termasuk seorang lagi pemain kebangsaan negara berkenaan, Mathieu Valbuena.

Sumber yang mempunyai maklumat mengenai siasatan kes itu berkata Karim, 27, terbabit dalam persekongkolan memeras ugut pemain tengah dan sayap Perancis, Valbuena, 31.

Dengan perkembangan terbaru itu Karim dan Valbuena tergugur daripada skuad kebangsaan Perancis dalam perlawanan persabahatan menentang Jerman dan England, masing-masing pada 13 dan 17 November ini.

Kata sumber, Karim - atau nama penuhnya Karim Mostafa Benzema - mengaku menghubungi Valbuena "bagi pihak seorang rakan lama" yang menghubunginya berhubung satu pita rakaman mengandungi aksi seks.

"Tiga individu mendakwa memiliki rakaman aksi seks Valbuena menghubungi rakan lama Karim. Lelaki itu kemudian mendapatkan bantuan Karim bagi menyampaikan mesej berkenaan kepada Valbuena," katanya.

Rakan lama Karim itu sebelum ini disabitkan kesalahan melakukan rompakan bersenjata.

Boleh dijel lima tahun

Penjenayah terbabit didakwa mengugut untuk menyebarkan kandungan rakaman video itu menjelang temasya Euro 2016 di Perancis kecuali Valbuena membuat bayaran bernilai £150,000.

Difahamkan rakaman video tu mengandungi aksi seks Valbuena bersama pasangannya. Ia dirakam menggunakan kamera telefon.

Kata sumber Valbuena diminta berunding mengenai isu itu dengan menjadikan Karim sebagai orang tengah.

Bagaimanapun peguam Karim berkata penyerang Real Madrid itu tidak membuat sebarang pengakuan atau ada peranan dalam kes peras ugut berkenaan.

Kata Sylvain Cormier, Karim akan membuktikan dia berniat baik mahu membantu rakan sepasukan.

"Karim sentiasa mendoakan Valbuena selamat," katanya.

Karim ditangkap kelmarin dan bermalam dalam tahanan di Versailles sebelum dibebaskan selepas dimaklumkan dia disiasat secara rasmi oleh polis.

Jika disabitkan kesalahan Karim boleh dihukum penjara sehingga sekurang-kurangnya lima tahun.

Dia juga dilarang bertemu Valbuena yang kini bermain untuk Lyon - kelab menjadi tempat Karim memulakan kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Sejam selepas berita itu tersebar secara rasmi jurulatih Perancis Didier Deschamps berkata dia mengecualikan Karim dan Valbuena daripada menyertai pasukannya dalam dua perlawanan antarabangsa.

"Karim mengalami kecederaan manakala Valbuena direhatkan kerana mengalami masalah tumpuan kepada kerjaya," katanya.

Menurut Deschamps Valbuena tidak berada pada tahap psikologi terbaik ekoran masalah dihadapi dan diberi masa berehat.

Perbualan Karim dan Valbuena mengenai rakaman itu dikatakan berlaku ketika skuad Perancis bertemu untuk latihan pusat pada 5 Oktober lalu sebelum perlawanan persahabatan menentang Armenia dan Denmark.

"Bayarlah, mereka bukan main-main," kata Karim kepada Valbuena yang dipetik wartawan majalah Foot Business, Jerome Jessel.

Kata Jessel, Karim juga memberitahu mahkamah, dia hanya cuba membantu rakan sepasukannya.

Valbuena meninggalkan kompleks latihan Lyon tanpa bercakap kepada media yang menanti di situ.

Gambar profil pada akaun Facebook Valbuen pula memaparkan Karim memeluknya dalam keadaan mesra di padang.

Kes peras ugut itu mula disiasat pada Jun apabila Valbuena membuat aduan polis selepas menerima panggilan daripada orang tidak dikenali.

Lihat Komen
ADS