M'sia akan berdepan Palestin di Jordan
Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) memutuskan Jordan sebagai venue tuan rumah pasukan berkenaan bagi dua perlawanan akan datang Pusingan Kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, bertemu Arab Saudi dan Malaysia.
Agensi berita antarabangsa, AFP melaporkan Presiden PFA Jibril Rajoub, bagaimanapun sudah memohon penangguhan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perlawanan berdepan Arab Saudi pada 9 Nov ini, bagi memberi masa kepada mereka menentukan venue di Jordan.
"Saya bercakap dengan Putera Ali (dari Jordan) dua hari lepas, dan kami akan bermain dua perlawanan berkenaan di Jordan," kata Rajoub seperti dipetik oleh AFP, hari ini.
"Kami akan memohon untuk menangguhkan perlawanan itu (menentang Arab Saudi) dengan alasan yang logik," katanya sambil menambah bahawa perlawanan berdepan Malaysia pada 12 Nov, akan berlangsung seperti ditetapkan.
FIFA pada Rabu, mengeluarkan kenyataan meminta PFA agar memutuskan kedua-dua perlawanan berkenaan diadakan di gelanggang berkecuali, berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu di Tebing Barat.
Pasukan Arab Saudi sebelum ini, dilaporkan enggan pergi ke Tebing Barat yang diduduki Israel, untuk perlawanan timbal balik menentang Palestin pada 13 Okt, dengan menyatakan 'keadaan luar biasa' di sana, sebelum meminta agar perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali pada 23 Okt.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga menghantar surat rayuan sebanyak tiga kali kepada FIFA, meminta agar perlawanan menentang Palestin diadakan di gelanggang berkecuali, sebelum badan induk bola sepak dunia itu, menerima permohonan tersebut pada Rabu.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama malam ini, turut mengesahkan perlawanan antara Malaysia dan Palestin, akan diadakan di Stadium King Hussein Sports City, Jordan.
Dalam pada itu, kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA bagi November kekal pada posisi ke-171 dunia, walaupun skuad Harimau Malaya melakar dua kemenangan sebelum ini.
Skuad Harimau Malaya mengalahkan Laos 3-1 pada aksi persahabatan 'A' di Stadium Thupatemee, Pathum Thani, Thailand pada 8 Okt lepas, sebelum menewaskan Timor Leste 1-0 pada aksi kelima Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste, selang lima hari kemudian.
Malaysia sebelum ini, berada pada ranking ke-154 dunia pada Januari dan Februari, 153 (Mac), 164 (April), 166 (Mei), 162 (Jun), 168 (Julai), 169 (Ogos dan September) serta ke-171 pada Okt.
Sementara itu, Belgium melakar sejarah apabila melonjak dua anak tangga untuk muncul selaku pasukan terbaik dunia dengan kutipan 1,440 mata.
Juara Piala Dunia 2014, Jerman kekal di tangga kedua dengan 1,388 mata, manakala Argentina yang sebelum ini menguasai kedudukan teratas, turun ke tangga ketiga dengan kutipan 1,383 mata.
Kedudukan ranking ini melibatkan 209 negara.
- Bernama

