FAM mungkin akan menyenarai pendek enam hingga 10 individu yang difikirkan sesuai sebagai calon ketua jurulatih skuad Harimau Malaya sebelum ia diumumkan Disember depan.

Setiausaha Agungnya FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya telah 'menutup pintu' untuk sebarang permohonan lain jika ada sesiapa yang masih mahu mencuba nasib mengisi jawatan ditinggalkan Dollah Salleh pada September lalu.

"Sekarang ini jawatankuasa khas sedang menapis dan menyenarai pendek calon.

"Saya rasa untuk proses pemilihan akhir, mungkin ambil masa sehingga Disember," katanya ketika ditemui media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Sejak jawatan jurulatih kebangsaan kosong, tugas itu dipangku Datuk Ong Kim Swee sementara FAM mencari calon lain yang dirasa berkelayakan.

Difahamkan ada kira-kira 30 nama mencuba nasib termasuk dari luar negara.

Antara nama yang disebut-sebut dipertimbangkan ialah bekas jurulatih JDT, Bojan Hodak; bekas jurulatih Kelantan, George Boateng ( gamar ) dan bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Sedia lebih awal

Turut disebut, bekas jurulatih utama Manchester United, Rene Meulensteen dari Belanda.

Hamidin berkata, jawatankuasa pemilihan akan menilai setiap aspek calon sebelum dipanggil untuk ditemuduga.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menukar lokasi perlawanan antara Palestin dan Malaysia beliau berkata, FAM menyambut baik perubahan tersebut.

Menurut beliau, FAM menerima surat rasmi daripada Fifa mengenai perkara itu hari ini‎ dan Harimau Malaya akan beraksi di Stadium King Hussein di Amman, Jordan.

"Pasukan negara sudah bersiap sedia berlepas malam ini ke sana supaya dapat buat persediaan dan latihan awal.

"Kita nak menyesuaikan diri dengan keadaan di sana kerana difahamkan cuaca di sana sekarang musim sejuk.

"Yang penting Datuk Ong Kim Swee dan pemain dapat memberi fokus kepada perlawanan 12 November ini," katanya yang juga pengurus skuad kebangsaan.