Chanturu rela 'terlepas' Deepavali
S Chanturu sepatutnya bergembira bersama keluarga meraikan Deepavali yang disambut Selasa ini tetapi sebaliknya dia berada jauh di rantauan. Dia berada di Amman, Jordan.
Semuanya adalah kerana pengorbanan yang perlu dilakukan pemain berusia 27 tahun itu untuk negara.
Skuad Harimau Malaya berlepas ke Jordan malam tadi sebagai persediaan menghadapi Palestin dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
"Sudah menjadi lumrah kepada saya tidak berada di kampung halaman di Kulim, Kedah bagi menyambut Deepavali. Sebagai pemain kebangsaan memang begitulah yang perlu dilakukan.
"Tambahan pula ini kali pertama saya dipanggil oleh Kim Swee (Datuk Ong Kim Swee) untuk mewakili negara bagi pusingan kelayakan ini. Disebabkan teruja dan semangat, perasaan sedih tidak dapat menyambut Deepavali di kampung kurang dirasai," kata Chanturu seperti dilapor Bernama semalam.
Barisan pemain kebangsaan bersama jurulatih sementara Kim Swee ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sebelum berlepas ke Jordan.
Sementara itu, Kim Swee menyatakan keyakinan beliau dengan kehadiran enam pemain daripada senarai menunggu memberi lebih banyak pilihan untuk merencana strategi terbaik apabila Malaysia berdepan Palestin nanti.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi keenam kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Hussein Sports City pada 12 Nov ini.
Guna sebaik mungkin
Kim Swee mengakui enam pemain berkenaan termasuk tiga pemain muda iaitu Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari Selangor, Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang) dan Muhammad Fazly Mazlan (JDT) mempunyai kelebihan masing-masing untuk membantu pasukan mencapai keputusan positif pada perlawanan tersebut.
Selain tiga pemain berkenaan, pengendali kelahiran Melaka itu turut menyenaraikan penyerang Harimau Muda B Syahrul Azwari Ibrahim, Ronny Harun (Sarawak) dan penyerang Kelantan Ahmad Fakri Saarani bagi menggantikan enam pemain sedia ada yang majoritinya mengalami kecederaan.
"Bagi saya, mereka layak mengisi kekosongan (ditinggalkan enam pemain lain) dan saya percaya mereka mampu membantu skuad negara dengan pengalaman yang dimiliki mereka," katanya dipetik sebagai berkata.
Selain itu Kim Swee berkata, baki lima hari menjelang pertemuan dengan Palestin akan digunakan sebaik mungkin untuk proses pemulihan pemain yang keletihan selepas beraksi dalam kempen Piala Malaysia selain memberi tumpuan aspek taktikal.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bakal menyenaraikan semula beberapa pemain yang disisihkan sebelum ini bagi aksi ketujuh pusingan kelayakan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, 17 November ini.
Antara pemain berkenaan adalah pemain tengah Kedah Baddrol Bakhtiar dan penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil selain penyerang veteran negara Mohd Safee Sali yang terlepas aksi berdepan Palestin akibat penggantungan perlawanan.

