Barisan pemain bola sepak kebangsaan menarik nafas lega apabila perlawanan bertemu Palestin pada 12 November ini akan diadakan di stadium berkecuali oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Namun apa yang lebih penting adalah misi memburu kemenangan kedua selepas berjaya mengatasi Timor Leste pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, baru-baru ini.

Jadual padat mengharungi liga tempatan dan cuaca sejuk di Jordan dilihat bukan halangan besar selain masih mempunyai masa untuk menyesuaikan diri.

Bagi penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, turun berdepan pasukan yang pernah menewaskan mereka 0 - 6 dalam pusingan pertama sebelum ini, Harimau Malaya perlu ada strategi tersendiri untuk meraih keputusan positif.

"Bagi saya kita agak rugi kerana ketiadaan beberapa pemain utama, tetapi jurulatih pastinya mempunyai strategi dan persiapan tersendiri untuk barisan pemain yang ada.

"Sebelum perlawanan kita ada masa untuk berlatih di sana. Bbagi saya tak ada masalah kerana sekurang-kurangnya kita dapat tahu taktikal yang jurulatih terapkan nanti," katanya kepada media ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

6 pemain baru dipilih

Skuad kebangsaan yang kini di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee berlepas ke Jordan malam tadi sebelum aksi di Stadium Amman Internationa di ibu negara Jodan berkenaan.

Bagi penyerang kebangsaan, Amri Yahyah, beliau yakin dapat memberi persembahan terbaik sekiranya diturunkan oleh jurulatih untuk mengutip tiga mata penuh.

"Sesiapa yang dipilih untuk perlawanan menentang Palestin kali ini perlu bagi yang terbaik, ini satu peluang untuk diri mereka dan pasukan negara.

"Saya sendiri tak ada masalah, saya dalam keadaan tahap kecergasan yang baik untuk beraksi," katanya yang mengulas kehadiran beberapa pemain baru untuk menggantikan pemain utama yang tidak dapat beraksi.

Terdahulu, Kim Swee terpaksa menggugurkan enam pemain sebelum berlepas ke Jordan bagi perlawanan menentang Palestin itu.

erubahan di saat minit akhir dilakukan berikutan kecederaan beberapa tonggak utama, khasnya di bahagian pertahanan dan tengah bagi mengharungi perlawanan timbal balik tersebut.

Antaranya, pemain pertahanan Terengganu Zubir Azmi dan Pahang Mohd Hafiz Kamal selain dua pemain JDT Gary Steven Robbat dan S Kunanlan yang mengalami kecederaan.

Sementara Baddrol Bakhtiar (Kedah) melangsungkan perkahwinan dan Mohammad Azamuddin Akil yang baru menyambut kelahiran anak.

Pengganti mereka ialah Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor), Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B), Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang), Ronny Harun (Sarawak), Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan Fazly Mazlan (JDT).

Sementara itu, pemain pertahanan Harimau Malaya Razlan Roslan berkata, moral beliau dan rakan-rakan begitu tinggi selepas mencatat kemenangan di gelanggang Timor Leste sebelum ini.

"Moral pemain agak tinggi, jadi kita perlu teruskan untuk aksi bertemu Palestin ini supaya dapat memperbaiki kedudukan kita dalam kumpulan.

"Kita perlu terima ini adalah tugasan untuk kita dan nama negara. Kita ada masa enam hari sebelum perlawanan, jadi bagi saya tak ada masalah cuma perlu sesuaikan diri dengan keadaan di sana," jelas pemain yang kini beraksi bersama skuad Tok Gajah.