Satu-satunya wakil Malaysia dalam Liga Bola Keranjang Asean (ABL) Westports Malaysia Dragons berjaya menumpaskan pasukan Vietnam, Saigon Heat dalam suku tambahan dengan 100-92 semalam.

Dragons sekali lagi melakar sejarah dalam liga tahun ini dengan kutipan mata yang tinggi dan kini menempa kedudukan di tempat pertama dalam liga selepas mengalahkan Pilipinas Aguilas minggu lalu.

Walaupun dua pemain Dragons terpaksa dikeluarkan akibat masalah foul dan seri 85 - 85 di akhir suku keempat, Dragons kembali menguasai permainan dan mengutip mata kemenangan di suku tambahan.

Saigon Heat pula terpaksa akur dengan takdir apabila tiga pemain importnya Morgan Moses, William Creekmore, dan pemain terbaru Lenny Daniel terpaksa keluar dari gelanggang setelah mendapat lima foul.

Ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia berkata dia tahu pasukan Malaysia akan diuji dengan corak permainan yang sukar, sama seperti dalam ABL musim lalu.

"Saya sudah tahu pasukan kami akan teruji dalam perlawanan kali ini di Vietnam.

"Kedua-dua pasukan kali ini bermain dengan cukup mantap. Dengan emosi yang begitu rancak di dalam stadium, terutamanya penyokong pasukan Saigon Heat.

"Saya berasa kami perlu bermain dengan lebih berhati-hati dalam perlawanan seterusnya dengan mereka," berkata Vanguardia.

Dragons akan bertemu dengan Heat sekali lagi di Vietnam pada 28 Oktober nanti.

Pemain 'gergasi' Dragons, Reginald Johnson dengan ketinggian 2.08 meter berjaya menyumbang 32 mata dan 16 rebound, manakala Matthew Wright 30 mata.