The Red Devils akhirnya membuat pengurus mereka kembali tersenyum selepas menewaskan West Bromwich Albion (WBA) 2-0 di Old Trafford, malam tadi.

Anak buah Louis Van Gaal akhirnya kembali meraih tiga mata penuh di hadapan menyokong merekan selepas sekadar mencatatkan keputusan seri pada dua perlawanan‎ sebelum ini ditentang Manchester City dan Crystal Palace.

Kemenangan itu meletakkan Manchester United di kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan pungutan 24 mata.

‎Pada aksi tersebut, United mendominasi permainan apabila menguasai 71 peratus bola berbanding pasukan pelawat.

Bagaimanapun, jentera serangan United tampil tumpul sekali gus gagal merobek gawang lawan pada aksi separuh masa pertama.

Peluang keemasan hadir buat United seawal minit ke-16, namun umpanan Wayne Rooney gagal disempurnakan Juan Mata.

Selain itu, tuan rumah juga memperolehi peluang menjelang minit terakhir separuh masa pertama melalui Anthony Martial, namun, sepakan pemain dari Perancis itu sekadar tepat ke arah penjaga gol lawan, Boaz Myhill.

Separuh masa kedua menyaksi pasukan pelawat terus mengukuhkan benteng pertahanan, bagaimanapun kesilapan pemain WBA diambil peluang oleh Jesse Lingard meledak gol pertama United di minit ke-52.

Selepas serangan demi serangan dan memberi tekanan kepada pasukan lawan, pemain WBA Gareth McAuley melalukan kesilapan apabila melanggar Martial di kawasan kotak penalti.

Selain kad merah dihadiahkan kepada McAuley, Juan Mata menyempurnakan penalti untuk gol kedua United sebelum wisel panjang ditiup pengadil.