Lampard: Jangan jadikan Mourinho 'kambing hitam'
Legenda Chelsea, Frank Lampard menyifatkan prestasi buruk bekas kelabnya itu bukan sepenuhnya salah Pengurus Jose Mourinho.
Menurutnya, Mourinho tidak harus dijadikan 'kambing hitam' dengan situasi yang dialami skuad The Blues itu.
Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu itu sekali lagi menerima tamparan pahit selepas tewas 0-1 kepada Stoke City, awal pagi tadi.
Keputusan itu terus memburukkan kedudukan Chelsea di tangga EPL selepas mencatat tujuh kekalahan daripada 12 perlawanan, mereka kini berada di tangga ke-16 dengan 11 mata.
Lampard berkata, barisan pemain perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut sebaliknya bukan Mourinho perlu dipersalahkan,
"Dia (Mourinho) perlu terus menjadi watak positif selepas banyak perkara yang terpalit kepada Chelsea.
"Ada beberapa pemain yang tampil dengan aksi teruk dan tiada keyakinan diri. Kita boleh nampak itu," katanya seperti dilaporkan Sky Sport.
Lampard yang kini bersama kelab New York City FC berkata, dia berharap kekuatan skuad Mourinho akan pulih dan melihat ke depan.
"Mereka harus lakukan segalanya untuk menangani keadaan itu dengan cara positif," jelas pemain berusia 37 tahun itu.
Mourinho kini diambang risiko pemecatan selepas prestasi buruk menimpa pasukannya dan kesalahan tatatertib yang sering dilakukan.

