Ketika prestasi Chelsea jatuh setakuk lagi ekoran kekalahan kepada Stoke kelmarin, tidak ramai yang menyedari kelab itu mempunyai 34 pemain yang bertebaran bersama pasukan lain kerana dipinjamkan.

Dengan jumlah yang begitu ramai, bagaimanakah mereka saling berhubung? Jawabnya - aplikasi WhatsApp.

Memiliki kumpulan sembang sendiri dalam WhatsApp mereka berhubung dari semasa ke semasa untuk bertanya khabar atau berkongsi gosip.

Salah seorang daripada mereka ialah Juan Cuadrado, 27, yang berasal dari Colombia dan kini bermain untuk Juventus di Itali.

Jumlah pemain Chelsea yang dipinjamkan itu memang ramai dan sekali ganda daripada mana-mana kelab lain dalam EPL ketika ini.

Seorang lagi pemain Chelsea dipinjamkan kepada kelab lain - dan mungkin menentang kelabnya sendiri nanti - ialah Patrick Bamford , 22, yang kini berada bersama Crystal Palace.

Sebelas mata saja

Namun setakat ini pengurus Palace, Alan Pardew belum menurunkannya untuk mana-mana perlawanan.

"Sebenarnya kami ada kumpulan sembang di WhatsApp," kata Bamford.

Menurut pemain berasal dari England itu kumpulan berkenaan dikendalikan unit yang menguruskan pemain di Stamford Bridge.

"Kami sering bertanya khabar dan bertukar cerita. Kadang-kadang ia menyebabkan telefon bimbit kami cepat kehabisan bateri," katanya.

Bamford juga mendedahkan Chelsea mengupah seorang pakar psikologi untuk berhubung dengan pemain yang dipinjamkan ke kelab lain.

Katanya, Chelsea juga dinasihati mengambil lebih ramai pakar psikologi untuk menangani pemain baran seperti Diego Costa.

Selain Cuadrado dan Bamford, antara pemain lain yang berada bersama kelab lain ialah Mohamed Salah di Roma, Nathan Chalobah (Napoli), Stipe Perica (Udinese) dan Andreas Christensen (Borussia Mönchengladbach).

Chelsea kini berada di tangga ke-16 EPL apabila hanya mencatat tiga kemenangan dan dua seri daripada 12 perlawanan.

Keadaan itu mendorong peminat berasa cukup gelisah dan perhatian kini tertumpu kepada pengurus, Jose Mourinho.