Panahan Khairul Anuar bawanya ke Brazil
Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad menempah tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas menjuarai pusingan Olimpik Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, semalam.
Pencapaian beliau menambah bilangan atlet negara ke Rio de Janeiro selepas empat penerjun negara iaitu Pandelela Rinong Pamg, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee yang sudah mengesahkan tiket lebih awal.
Pada aksi di final semalam, Khairul Anuar menewaskan pemanah Mongolia, Gantugs Jantsan 6-0 untuk meraih pingat emas.
Kejayaan berkenaan memastikan satu tiket buat Malaysia untuk beraksi dalam acara recurve individu di Brazil pada tahun depan.
Seorang lagi pemanah negara, Haziq Kamaruddin terlepas pingat gangsa apabila tewas kepada pemanah Kazakhstan, Sultan Duzebayev 4-6 dalam penentuan tempat ketiga.
-Bernama

