Turun sebagai pesaing baru dalam Piala Malaysia selepas kira-kira enam tahun 'hilang dari radar' kerana bertarung di gelanggang Liga Perdana, berjaya melangkah ke peringkat suku akhir adalah satu pencapaian bonus buat Kedah.

Namun jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe, tidak mendabik dada. Sebaliknya menyifatkan pasukan Kedah sebagai underdog dalam saingan merebut piala paling berprestij itu.

Muncul naib juara dalam kumpulan A, Cheng Hoe mengakui mereka bakal mengharungi saingan yang lebih sengit daripada pasukan lebih berpengalaman.

"Ia bukan mudah kerana di peringkat suku akhir saingannya berbeza.

"Kita perlu memperbaiki segala kelemahan selepas dua kali kekalahan, satu seri dan tiga kemenangan di peringkat kumpulan.

"Tetapi tidak mustahil untuk kita memberi saingan sengit dengan mengambil kelebihan dan peluang bermain di tempat sendiri pada perlawanan pertama nanti," katanya kepada Malaysiakini .

Kedah bakal bertemu juara kumpulan D, PKNS FC pada 24 November nanti di Stadium Darul Aman dalam perlawanan suku akhir pertama, sebelum bertandang ke gelanggang pasukan lawan.

Mujur dalam keadaan baik

Mereka disahkan layak ke peringkat kalah mati itu selepas menundukkan JDT II 4 - 2 dalam perlawanan akhir kumpulan A pada 4 November lalu.

Kedah mengumpul 10 mata - dijarakkan tiga mata dengan Lions XII di kedudukan teratas.

Cheng Hoe ( gambar ) berkata, dengan layaknya mereka ke peringkat suku akhir itu diharap memberi semangat kepada barisan pemain.

"Mujurnya semua pemain kita berada dalam keadaan baik selepas mengharungi perlawanan selama tiga minggu. Buat masa sekarang mereka diberi cuti selama seminggu sebelum turun untuk sesi latihan.

"Berbanding pemain pasukan lain, sebagai pasukan baru dalam saingan ini pemain kita agak muda dan kurang pengalaman. Tetapi kita cuba gunakan sebaik-baiknya," jelasnya.

Ditanya saingan yang dilihat mencabar, pengendali pasukan dari negeri jelapang padi menganggap pasukan JDT, Selangor dan Pahang adalah pencabar utama dalam saingan musim ini.

"JDT adalah satu pasukan yang dianggap terbaik di negara kita selepas kejayaan mereka, begitu juga dengan kebangkitan Selangor dan prestasi Pahang," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe yang membimbing Kedah sejak April 2014 turut mengharapkan sokong padu daripada peminat setia mereka dalam misi memburu Piala Malaysia kelima dalam sejarah negeri itu.

Apakah gema sorakan 'pulun Kedah pulun' bakal menggentarkan lawan mereka dengan kebangkitan pemain Helang Merah?

Apakah mengulangi sejarah manis skuad utara tanah air itu dapat diulangi?

Rekod sebelum ini menyaksikan mereka muncul juara kali pertama pada edisi Piala Malaysia 1990. Kedah yang dulu dikenali dengan gelaran skuad Kenari turut muncul juara pada 1993, 2007 dan 2008.