Pemain Liverpool menyifatkan legenda mereka, Steven Gerrard tiada galang gantinya.

Di mata Emre Can, Lionel Messi sekali pun tidak mampu menggantikan kewibawaan bekas kapten fantastik di matanya itu.

Bagi bintang dari Jerman itu, sukar untuk pemain lain mengikuti jejak ditinggalkan Gerrard di Anfield.

"Saya fikir sesiapa pun tidak dapat menggantikan Gerrard, baik Messi atau orang lain," kata Can seperti dilaporkan Daily Mail.

Menurut Can yang bermain di posisi tengah itu, ramai yang ingin mengikuti langkah Gerrard namun mengakui bekas kapten pasukan England itu tetap yang terbaik di Liverpool.

"Kewibawaannya bukan hanya terlihat di padang, malah di luar padang," kata Can yang baru menyertai The Kop tahun lalu.

Tamat rekod tanpa kalah

Gerrard menghabiskan masa selama hampir 17 tahun untuk berjuang bersama Liverpool sebelum berhijrah ke kelab LA Galaxy selepas EPL musim lalu berakhir.

Bersama Liverpool dia pernah mencatat pelbagai kenangan manis termasuk memenangi piala Liga Juara-juara pada 2005.

Kelibat pemain berusia 35 tahun itu dilihat kembali di Stadium Anfield ketika Liverpool tewas kepada Crytal Palace, Ahad lalu.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan rekod perlawanan tanpa kalah Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Sebeleum perlawanan itu, mencatatkan kemenangan dalam tiga saingan berturut-turut termasuk di Liga Eropah.

Sementara itu, Can menyifatkan dirinya sedang mencari keserasian dengan udara baru di Liverpool.

"Kehadiran Klopp memberi aura positif buat pasukan. Klopp mempunyai mental juara, dia dahagakan gelaran," katanya.