Di Jordan Harimau Malaya dibaham lagi
Misi skuad Harimau Malaya memburu "keputusan positif" di Jordan berakhir dengan kekecewaan apabila mereka dibaham Palestin 6 - 0 sebentar tadi.
Gol leret pemain tuan rumah, Jonathan Zorrilla selepas lebih 30 minit Harimau Malaya bertahan ternyata melenyapkan harapan untuk menang dalam saingan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan.
Pada aksi kelayakan kumpulan A Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu, aksi anak buah Datuk Ong Kim Swee dilihat kurang menyengat sejak awal permainan lagi.
Walaupun nampak kesungguhan bermain, Malaysia ternyata bukan lawan Palestin.
Selain alasan klise - seperti perbezaan saiz fizikal - persembahan Palestin juga jauh meninggalkan prestasi semasa pemain negara.
Dulu juga 0 - 6
Hilang punca, tiada taktikal jelas dan mudah hilang bola masih membelenggu pasukan kebangsaan.
Lebih malang, kesilapan mudah di posisi pertahanan membuka peluang kepada Palestin menjaringkan gol demi gol.
Selepas gol pertama, Palestin hanya perlukan seminit untuk menambah jaringan pada minit ke-38 melalui Ahmed Abunahia yang turut melengkapkan hatriknya pada minit ke-45 dan 58'.
Kebangkitan anak buah Kim Swee di penghujung masa perlawanan bagaimanapun gagal mengatasi kemaraan Palestin yang menambah gol kelima dan keenam di minit akhir persaingan.
Dengan jaringan itu, Palestin mengulangi kemenangan mereka seperti perlawanan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.
Tanpa sebarang mata dan tanpa gol yang dibawa pulang Harimau Malaya mungkin memadamkan impian untuk layak ke peringkat seterusnya.
Malah, anak buah Kim Swee akan menunggu cabaran dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November nanti.

