Lagu kebangsaan bergema lepas serangan pengganas
Perlawanan persahabatan antara Jerman dan Perancis sedang berlangsung ketika serangan pengganas berlaku di stadium kebangsaan di Paris pagi tadi (waktu Malaysia).
Salah satu rakaman video mengenai insiden itu menunjukkan pemain Perancis sedang mengawal bola apabila satu letupan kuat kedengaran.
Orang ramai pula bersorak dan terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba di luar stadium.
Perlawanan tidak berhenti serta-merta kerana ada pemain Jerman yang mengejar bola berkenaan.
Hanya selepas beberapa ketika perlawanan itu dihentikan dan orang ramai diminta meninggalkan Stade de France.
Penonton - yang mungkin sudah mengetahui berlaku serangan pengganas - menyanyikan lagu kebangsaan Perancis ketika meninggalkan stadium berkenaan.
Tindakan itu mendapat pujian ramai , termasuk Perdana Menteri Australia.
Serangan itu berlaku di beberapa lokasi di daerah iaitu Paris dan Saint-Denis. Namun jumlah kematian tertinggi dicatatkan di Arena Bataclan yang ketika itu sedang berlangsung konsert kumpulan rock.
Penyerang dilaporkan berkubu di lokasi berkenaan dengan mengambil ramai tebusan sebelum mereka akhirnya dibunuh pasukan keselamatan Perancis.
Secara keseluruhan dilaporkan sekurang-kurangnya 153 orang maut dalam insiden itu. Paris pula mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

